ALOR SETAR: Warung ‘Pak Din One Dollar’ yang sering menerima kunjungan pelanggan seluruh negara di Kampung Suka Menanti, di sini tidak terkecuali dinaiki air ekoran banjir melanda daerah Kota Setar.
Keadaan itu menyebabkan premis terletak di pinggir Sungai Anak Bukit itu tidak dapat beroperasi sejak Rabu lalu setelah digenangi air setinggi 0.5 meter.
Memikirkan stok bahan masakan yang telah dibeli dalam kuantiti banyak, pemiliknya, Jamaludin Ahmad, 73, mendapat idea untuk menyediakan makanan percuma kepada penduduk kampung itu yang terjejas banjir.
Malah, usaha murni itu tidak hanya terhad kepada mangsa di kampung itu semata-mata tetapi sesiapa sahaja yang berkunjung ke kedainya bermula pukul 5 petang sehingga edaran makanan habis.
Pesara tentera yang lebih mesra dengan panggilan Pak Din berkata, kira-kira 300 pek makanan percuma berupa nasi putih berlauk ikan goreng diagihkan kepada orang ramai pada hari pertama agihan kelmarin.
“Sebelum kedai dilanda banjir kami telah membeli barang untuk berniaga dalam kuantiti yang banyak, kemudian banjir melanda kawasan ini dan anak lelaki saya memberitahu bagaimana untuk menghabiskan barangan yang telah dibeli.
“Sebelum itu juga cucu saya pernah hampir lemas dalam satu kejadian baru-baru ini, dan anak lelaki saya cadang kami bersedekah dengan menyediakan makanan percuma untuk orang ramai sebagai tanda bersyukur kepada Allah kerana cucu saya itu selamat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, selepas inisiatifnya itu tular di media sosial, jumlah orang ramai yang ingin mendapatkan makanan percuma meningkat pada semalam.
Jamaludin berkata, ada juga pihak yang menghulurkan sumbangan tunai kepadanya bagi menyediakan makanan percuma itu yang turut disajikan menu ketam dan udang.
“Saya tidak pasti sampai bila makanan percuma ini dapat disediakan, mungkin sehari dua ini bergantung kepada barangan yang masih ada dan sumbangan pihak tertentu, kalau ada barang lagi Insya-Allah kita teruskan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk kampung itu, Nurhanim Ismail, 44, berkata, inisiatif tersebut sedikit sebanyak meringankan beban mangsa banjir yang menghadapi kesukaran untuk memasak dan mendapatkan barangan ketika musim banjir ini.
Amirul Hafiz Hazir, 29, juga memuji inisiatif yang dilakukan oleh Jamaludin itu kerana sangat membantu orang ramai khususnya yang terkesan dengan banjir. – UTUSAN