P.Pinang: 194 tekong di 3 unit nelayan bakal terima bot, enjin baharu

P.Pinang: 194 tekong di 3 unit nelayan bakal terima bot, enjin baharu

FARIZAN Darus (tengah) ketika menghadiri majlis kesyukuran penyempurnaan serahan bot dan enjin serta doa selamat bagi kerja-kerja pembinaan bangsal nelayan unit Permatang Tepi Laut di Dewan Unit Nelayan Permatang Tepi Laut, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seramai 98 orang tekong bot yang berdaftar dengan skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) di bawah projek Pulau Silikon termasuk kesemua 77 tekong dari unit Permatang Tepi Laut telah menerima bantuan bot dan enjin baharu seperti yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Datuk Seri Farizan Darus berkata, ketika ini, kerajaan negeri sedang menguruskan bantuan dalam bentuk yang sama kepada 194 orang tekong lagi yang aktif dari unit Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

Farizan berkata, kerajaan negeri juga akan mengadakan tinjauan pilihan bot dan enjin baharu dalam kalangan nelayan di ketiga-tiga unit nelayan berdasarkan turutan pendaftaran SIMP serta keadaan bot dan enjin mereka.

“Bot baharu berukuran 27 kaki panjang dan 7.4 kaki lebar ini dilengkapi dengan enjin yang berkapasiti lebih besar iaitu 90 atau 100 kuasa kuda tertakluk kepada jenama pilihan tekong masing-masing.

“Setiap tekong tahap satu yang berkelayakan juga akan menerima kelengkapan seperti robot, sonar, GPS (sistem pengesanan global) dan pukat untuk membantu mereka pergi lebih jauh bagi mendapatkan hasil tangkapan yang lebih lumayan,” katanya di Dewan Unit Nelayan Permatang Tepi Laut di sini, semalam.

Terdahulu, Farizan menghadiri majlis kesyukuran penyempurnaan serahan bot dan enjin serta doa selamat bagi kerja-kerja pembinaan bangsal nelayan bagi unit Permatang Tepi Laut.

Menurut Farizan, seiring dengan bantuan ex-gratia, kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM10,599,260 bayaran ex-gratia itu ke dalam akaun nelayan yang berdaftar di bawah skim SIMP setakat ini.

“Daripada 877 nelayan yang berdaftar, seramai 680 nelayan telah menerima bayaran penuh ex-gratia manakala 53 orang telah menerima 75 peratus bayaran ex-gratia mengikut kelayakan tahap dan kategori masing-masing. Proses pembayaran masih diteruskan untuk baki nelayan di mana dokumen sokongan masih dikemaskinikan,” katanya.

Selain itu, katanya, di bawah skim SIMP, tekong Permatang Tepi Laut yang menambat bot di kawasan Sungai Bayan Lepas juga layak menerima bangsal baru di mana dua bangsal contoh telah siap dibina dan diserahkan kepada nelayan pada Oktober tahun lepas.

“Baki 61 unit bangsal akan dibina secara berfasa. Kerja pembinaan untuk fasa pertama bagi 12 buah bangsal telah dimulakan dan dijangka siap pada Ogos 2025,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, skim SIMP juga menawarkan kursus peningkatan kemahiran seperti kursus jurumudi untuk nelayan yang ingin mencari pendapatan alternatif.

Ujarnya, ketika ini, seramai 20 nelayan telah berjaya memperoleh Sijil Perakuan Kekompetenan (COC) daripada Jabatan Laut Malaysia selepas mengikuti kursus tersebut yang membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan pengangkutan air selain menjadi nelayan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN