Oyen Ucuk tidak mengaku sokong, miliki gambar berkaitan Daesh

Oyen Ucuk tidak mengaku sokong, miliki gambar berkaitan Daesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas satu pertuduhan menyokong dan memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh, Disember tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Sani Mahdi Sahar, 31, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama dalam bahasa Arab, Abu Ibrahim yang kemudian ditukar kepada Oyen Ucuk.

Perbuatan itu dikesan dilakukan di Bahagian E8 Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini pada pukul 9 pagi, 19 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki tiga gambar yang dikaburkan dengan keterangan gambar, menyatakan individu tersebut berbai’ah kepada Abu Hafsah Al-Hasimi Al-Quroshi yang merupakan pemimpin Daesh kelima.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki gambar memperingati insiden militan yang berkait dengan Daesh telah menawan suatu kawasan di Mozambique pada 2020.

Kedua-dua perbuatan dilakukan dalam akaun media sosial sama pada pukul 8 malam, 26 Mac dan 9.16 malam, 30 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan sama dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Tertuduh  diwakili peguam bela Asiah Abd. Jalil manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mat Radzi.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 19 November ini. 

Tertuduh sebelum ini pernah didakwa sebanyak dua kali dan dijatuhi hukuman masing-masing penjara 18 bulan pada 2016 dan enam tahun pada 2018 oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan berkaitan Daesh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN