Ops Gegar: 17 pelayan wanita Thailand ditahan - Utusan Malaysia

Ops Gegar: 17 pelayan wanita Thailand ditahan

ANGGOTA penguat kuasa Imigresen memeriksa dokumen pelayan wanita Thailand yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 17 wanita Thailand yang juga pelayan di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini menerusi Ops Gegar, semalam.

Timbalan Pengarah JIM Terengganu (Kawalan), Mat Amin Hassan berkata, kesemua mereka ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Menurut beliau, hasil aduan dan risikan JIM juga mendapati pusat hiburan berkenaan beroperasi dengan berselindung di sebalik sebuah restoran dan menggani wanita Thailand sebagai ‘pelaris’.

Katanya, ketika serbuan pada pukul 8 malam kelmarin sehingga 6 pagi semalam, wanita terbabit sedang leka melayan pelanggan dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadian pihak berkuasa.

“Tindakan pantas pasukan penguat kuasa yang mengepung kawasan tersebut termasuk laluan pintu belakang berjaya menghalang usaha mereka untuk melarikan diri.

“Seramai 52 individu termasuk pelanggan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 17 wanita Thailand berusia 19 sehingga 33 tahun dicekup kerana melanggar syarat permit serta tiada dokumen perjalanan.

“Mereka yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” kataya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Mat Amin berkata, JIM juga telah mengarahkan dua lelaki tempatan yang bekerja di pusat hiburan tersebut hadir bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Tegas beliau, tindakan menggaji atau melindungi warga asing yang melanggar undang-undang atau peraturan JIM adalah satu kesalahan serius dan perlu dibendung segera.

“Pihak yang melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) boleh dikenakan tindakan undang-undang dan orang ramai digesa menyalurkan maklumat keberadaan PATI kepada pihak berkuasa,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN