Operasi feri Kuala Kedah dihentikan sehingga Sabtu - Utusan Malaysia

Operasi feri Kuala Kedah dihentikan sehingga Sabtu

OPERASI Terminal Feri Kuala Kedah yang dihentikan sementara akibat faktor cuaca.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Operasi feri ke Langkawi dari Terminal Feri Kuala Kedah dihentikan sementara hingga 21 September ini berikutan amaran angin kencang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia).

Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, tindakan itu terpaksa diambil demi keselamatan penumpang dan feri.

Katanya sejak kelmarin, seramai 12,532 penumpang yang telah membeli tiket untuk keluar dan masuk ke Langkawi terjejas setelah perkhidmatan feri terpaksa dibatalkan akibat keadaan cuaca dan angin kencang yang menyebabkan laut bergelora.

“Feri tambahan akan diaktifkan melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis, bergantung kepada keupayaan terminal menerima feri pada satu-satu masa.

“Semua itu bergantung kepada kelulusan menerusi penilaian dibuat Jabatan Laut Malaysia (JLM) terhadap kemampuan terminal feri tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu syarikat berkenaan turut mengumumkan mengenai pembatalan perjalanan feri keluar masuk ke Langkawi yang memasuki hari ketiga berturut-turut, hari ini.

Sebuah feri yang membawa 589 penumpang telah pun memulakan perjalanan kira-kira pukul 8.30 pagi tadi, namun terpaksa berpatah balik berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan, dengan tiupan angin mencecah antara 40 hingga 50 kilometer sejam manakala ombak setinggi 3.5 meter.

Mengulas lanjut Baharin berkata, para penumpang dinasihatkan supaya menukar laluan keluar atau masuk ke Langkawi melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis buat sementara waktu.

“Penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya