Operasi bersepadu banteras aktiviti tidak bermoral di restoran - Utusan Malaysia

Operasi bersepadu banteras aktiviti tidak bermoral di restoran

TENGKU Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (tengah) memandu jentera pembersihan sebagai gimik perasmian Hari Cuci Malaysia : Program Pembersihan Mega Sempena 'World Clean Up Day' 2024 di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merancang mengadakan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain untuk membanteras aktiviti tidak bermoral di restoran-restoran di bandar raya ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, tindakan tersebut diambil untuk memastikan pemilik restoran tidak menyalahguna lesen perniagaan tersebut dengan menjalankan aktiviti tersebut.

Menurutnya, operasi bersepadu itu akan melibatkan agensi penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan polis.

“Pemilik restoran yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan lebih tegas membabitkan kesalahan di bawah akta agensi penguat kuasa terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega sempena ‘World Clean Up Day 2024’ di Pantai Batu Buruk, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu,
Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 17 wanita Thailand yang juga pelayan di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini menerusi Ops Gegar, semalam.

Timbalan Pengarah JIM Terengganu (Kawalan), Mat Amin Hassan dilaporkan berkata, berkata, kesemua mereka ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Rosli memberitahu, hasil siasatan mendapati pusat hiburan itu menyalahgunakan lesen restoran dengan menyediakan pelayan wanita Thailand.

Menurutnya, pihaknya telah mengambil tindakan menutup dan menyita premis tersebut mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2002.

“Pada bulan lalu, MPKT juga mengambil tindakan yang sama ke atas sebuah pusat refleksologi di pusat bandar raya ini yang melakukan kesalahan menyalahgunakan lesen perniagaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN