Op Sapu: 15 ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah

Op Sapu: 15 ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah

SEBAHAGIAN daripada warga asing yang ditahan dalam satu operasi di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Seramai 15 warga Myanmar termasuk seorang wanita ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat, di sini semalam kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Terdahulu, jurucakap JIM Pulau Pinang berkata, sebanyak lapan buah rumah di kawasan perumahan itu telah diperiksa dalam siri Op Sapu yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen negeri.

“Rumah-rumah kediaman dua tingkat ini dipercayai telah disewa oleh majikan untuk dijadikan sebagai asrama pekerja mereka.

“Secara keseluruhannya, seramai 75 orang penghuni warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 15 orang termasuk seorang wanita yang berumur antara 22 hingga 46 tahun telah ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan serta pas yang sah,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, penduduk di situ sebelum ini telah mengemukakan aduan mengenai warga asing yang menghuni kawasan kediaman di taman berkenaan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA).

“Berdasarkan akuan dan pakaian yang dijumpai, kesemua 15 orang warga asing ini bekerja dengan kontraktor syarikat pembersihan yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai pemotong rumput.

“Ketika diminta mengemukakan dokumen, mereka bagaimanapun gagal berbuat demikian dan tidak dapat memberikan sebarang keterangan mengenai keberadaan mereka di Malaysia.

“Kesemua mereka telah ditangkap kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah serta untuk siasatan lanjut jabatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, siasatan terhadap majikan serta pemilik kediaman juga akan dilakukan dan mereka berkemungkinan dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sekiranya terdapat elemen kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN