Op Khas RX-Z: Ubah suai ekzos paling banyak disaman

Op Khas RX-Z: Ubah suai ekzos paling banyak disaman

SEBAHAGIAN daripada motosikal yang ditahan dalam Op Khas Motosikal sempena Program Himpunan RX-Z Members 6.0 di Kuala Terengganu, kelmarin. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis mengeluarkan 65 saman me­nerusi Op Khas Motosikal sempena Program Himpunan RX-Z Members 6.0 di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisio­ner Azli Mohd. Noor, berkata, kesalahan paling banyak dikesan adalah ubah suai ekzos dengan sebanyak 16 kes.

Menurut beliau, sebanyak 15 buah motosikal turut disita dalam operasi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) daerah bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu.

“Turut dikesan adalah kesalahan tiada cermin sisi (12 kes), aksesori tidak sempurna (9) dan nombor pendaftaran kabur atau ‘fancy’ sebanyak lima kes.

“Kesalahan lain termasuk masing-masing tiga kes tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan brek tidak berfungsi selain tiada lampu isyarat dan lampu brek.

“Dalam operasi pukul 5 petang sehingga 12 tengah malam itu juga 35 buah motosikal dan 25 individu diperiksa namun tiada tangkapan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Program RX-Z Members 6.0 berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus selama dua hari sejak Jumaat dengan kehadiran hampir 50,000 peserta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN