Op Global: JAIS teliti rampasan polis - Utusan Malaysia

Op Global: JAIS teliti rampasan polis

JAIS polis
MOHD. SHAHZIHAN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Agama islam Selangor (JAIS) meneliti barangan yang dirampas oleh Polis Diraja Malaysia dalam serbuan terhadap 18 premis termasuk sekolah agama dan rumah kebajikan di seluruh negeri ini, semalam.

Penelitian tersebut dibuat selepas JAIS mengadakan pertemuan dengan polis supaya rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli-ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) untuk siasatan lanjut pihaknya.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, antara premis yang diserbu itu terdapat lapan buah Sekolah Rendah Islam dan maahad tahfiz berdaftar dengan jabatannya, namun tiada sebarang penyelewengan dikesan.

Menurutnya, siasatan dibuat di bawah Seksyen 7, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Dua daripadanya sudah menutup operasi secara sukarela, manakala dua lagi tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftarannya, sementara baki masih lagi beroperasi sehingga 2028.

“Berikutan tindakan dan penemuan polis yang melibatkan sekolah berdaftar di bawah enakmen berkuatkuasa, JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sekolah terlibat mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Majlis Aga­ma Islam Selangor (MAIS) membuat pemantauan terhadap pergerakan GISBH susulan wujud isu ajaran sesat dikaitkan dengan syarikat itu.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pemantauan dilakukan selepas individu dalam syarikat tersebut diketahui pernah terlibat dengan ajaran sesat al-Arqam lebih 30 tahun lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan turut memaklumkan JAIS meneliti 19 video yang dimuat naik dalam media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) berhubung pergerakan GISBH sebagai sebahagian daripada pemantauan rapat terhadap kumpulan itu.

“Mereka sentiasa dipantau rapat berikutan wujudnya kaitan dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.

“Berhubung dengan isu GISBH yang sedang tular, JAIS meneliti 19 video tersebut. Penelitian dibuat bagi mengukuhkan lagi hasil siasatan sedia ada dan mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak lain bagi melengkapkan siasatan,” jelasnya.

Untuk rekod, Istitabah yang diuruskan oleh JAIS pada 8 November 2013 tidak pernah membatalkan fatwa tentang kepercayaan dan amalan melibatkan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.

Terdahulu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.

Berdasarkan maklumat dan siasatan, polis mengesyaki bahawa sebuah syarikat melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Selain itu, mangsa mendakwa diajar, dididik untuk meliwat dan seterusnya diliwat oleh penjaga serta dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Kertas siasatan yang dibuka antaranya mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Mencabul Kehormatan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN