PETALING JAYA: Pelakon, Nora Danish, mencuri perhatian apabila mengajak orang ramai menghafal surah Al-Mulk sebelum memasuki bulan Ramadan tahun hadapan.
Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 42, turut memaklumkan bahawa dirinya sudah berjaya menghafal lima ayat daripada surah tersebut.
“Saya sebenarnya sedang dalam percubaan untuk hafal surah Al-Mulk. Saya harap dengan perkongsian video ini akan buka ramai hati di luar sana untuk sama-sama hafal.
“Saya baru hafal lima ayat, jom kita lumba sama-sama,” katanya dalam sebuah video yang dikongsikan semula peminat di aplikasi TikTok.
Dalam video tersebut, Nora turut memperdengarkan bacaan ayat suci tersebut sambil memakai telekung berwarna putih.
“Jom sama-sama kita cuba (hafal) sebelum Ramadan 2025,” tulisnya pendek dalam video tersebut.
Mengintai perkongsian di Instagram Story pula, Nora juga dilihat sedang menghadiri kelas tafsir al-Quran yang membincangkan ayat dalam surah Al-Baqarah hari ini.
Tindakan Nora mendapat respons positif daripada peminat yang turut berkongsi rahsia untuk menghafal ayat suci Al-Quran dengan lebih berkesan.
“Paling senang nak hafal kena dengan irama. Cuba dengar bacaan Sheikh Abd Kareem. Ulang hari-hari selepas Isyak. Insya-Allah dalam sebulan sudah hafal,” tulis satu komen.
“Saya pun masih merangkak untuk hafal. Semoga satu hari nanti saya mampu hafal satu surah,” kata komen yang lain.
“Saya doakan kakak berjaya untuk hafal. Semoga amalan kita semua diterima di sisi Allah,” kata seorang peminat.-UTUSAN