Nilai ringgit semakin mengukuh - Amir Hamzah

Nilai ringgit semakin mengukuh – Amir Hamzah

AMIR Hamzah Azizan ketika merasmikan mesin pengimbas JKDM di KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kadar ringgit yang kembali teguh dalam pasaran tukaran mata wang asing sepanjang minggu ini membuktikan trend perkembangan positif bagi ekonomi Malaysia.

Pandangan itu disuarakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika ditanya mengenai nilai tempatan ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Kita sudah lihat ringgit mula banyak mengukuh seperti diunjur awal tahun dan nampak baik dari segi ekonomi malah diramal bergerak kepada tahap yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan mesin pengimbas baharu dari China untuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Nilai ringgit meraih tumpuan ramai pihak apabila memaparkan prestasi cemerlang dalam suku ketiga 2024 dengan naik 12 peratus sejak awal tahun dan terbaik di rantau ASEAN.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah dalam nada optimis mengakui situasi amat positif itu turut disumbangkan faktor ganjakan kadar faedah yang diturunkan Rizab Persekutuan di AS.

“Alhamdulillah, ringgit masih kukuh dan mata wang kita tengah cuba mencari nilai imbang sepatutnya namun saya bersyukur dapat nampak banyak perbezaan ketara,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau gembira kerana kadar ringgit turut teguh berbanding semua mata wang di Asia Tenggara dan ia mempengaruhi momentum kerancakan ekonomi Malaysia.

Situasi ini ujarnya, penting kerana pengukuhan ringgit bakal menarik banyak pelaburan asing masuk ke negara ini dan seterusnya meningkatkan lagi permintaan mata wang itu.

Amir Hamzah bahkan berkata, kestabilan ringgit juga menyerlahkan kerjasama erat antara kerajaan, pelbagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dengan Bank Negara Malaysia.

Keadaan itu tegasnya, dapat disaksikan apabila mata wang tempatan ini tanpa diduga mencapai nilai RM4.12 berbanding dolar AS hari ini, iaitu paras terbaik sejak Mei 2021 lalu.

“Insya-Allah, kita sebenarnya berupaya menstabilkan ringgit dalam apa juga kondisi yang ada dan selagi mana Malaysia bangkit kuat dari segi ekonomi untuk terus kukuh,” katanya.

Walaupun tidak dinyatakan secara spesifik, beliau dipercayai merujuk analisis pelbagai pihak yang meramalkan ringgit mampu mencecah RM3.55 bagi AS$1 menjelang akhir 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya