KUALA TERENGGANU: Kebanyakan nelayan pantai di sini mendakwa mereka terpaksa menunggu sehingga lebih setahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan lesen sampan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan (PNKKTS), Mohd. Razif Embong, 37, berkata, Jabatan Perikanan
sepatutnya mempercepatkan proses kelulusan permohonan lesen tersebut untuk membolehkan nelayan terbabit keluar menangkap hasil laut secara sah.
Menurutnya, kebanyakan permohonan baharu lesen tersebut dikemukakan oleh nelayan muda yang berminat menjadi nelayan.
“Bermula sebagai nelayan sampan, golongan muda tersebut boleh mengembangkan kerjaya mereka menjadi nelayan laut dalam yang berjaya.
“Bagaimanapun kelewatan Jabatan Perikanan memberi kelulusan lesen sampan didapati mematahkan semangat mereka menjadi nelayan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan
Malaysia berdepan kekangan tenaga buruh
tempatan dalam industri perikanan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang kerana hampir 52 peratus atau 58,531
nelayan kini berusia 50 tahun dan ke atas.
Berdasarkan data Jabatan Perikanan, jumlah nelayan di seluruh negara yang masih ak-
tif menjalankan aktiviti menangkap ikan adalah sebanyak 112,344 orang.
Bagaimanapun, golongan nelayan berusia 50 tahun dan ke atas akan keluar dari sektor itu dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi manakala golongan muda kurang minat menjadi nelayan.
Mohd. Razif memberitahu, pada masa ini, PNKKTS mempunyai seramai 1,300 ahli dan lebih 50 peratus merupakan dalam kalangan nelayan muda.
Malah, tambahnya, terdapat nelayan muda tersebut sanggup meletak jawatan di pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk menceburi bidang perikanan.
“Mereka bertindak sedemikian kerana mampu meraih pendapatan hasil jualan tangkapan ikan antara RM300 dan RM500 sehari,” ujarnya. – UTUSAN