Nelayan terjejas, pelantar ikan rosak dipukul ombak

Nelayan terjejas, pelantar ikan rosak dipukul ombak

KEADAAN pelantar ikan yang rosak dipukul ombak berikutan air pasang besar di Bagan Sungai Tiang di Bagan Datuk, Perak semalam. –UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Nelayan di sini mengeluh kerana sukar ke laut dan memunggah hasil tangkapan apabila pelantar ikan di kampung mereka rosak dilanda ombak berikutan fenomena air pasang besar di sini semalam.

Nelayan yang ditemui berkata, ini kerana pelantar ikan yang dibina tiga tahun lalu itu me­ngalami kerosakan teruk.

Seorang nelayan, Mohamad Nahar Sarip, 60, berkata, akibat dipukul ombak, pelantaran ikan di kampung itu patah tiang dan lantainya dan tidak selamat untuk digunakan.

Katanya, selain itu, jalan masuk ke pelantar ikan itu juga terhalang akibat dipenuhi sampah yang dihanyutkan air pasang besar.

“Ombak besar turut meng­hanyutkan peralatan menangkap ikan terutama jaring ikan dan peralatan lain seperti tong ikan dan kerang.

“Jalan masuk ke pelantar ikan sudah tidak boleh dilalui kerana banyak sampah hanyut seperti pokok kayu dan tayar lama, laluan ke pelantar ikan sudah terputus dan memerlukan masa yang lama untuk diperbaiki.

“Bagaimana kami hendak ke laut kerana pelantar ikan tempat bot berlabuh dan menurunkan hasil laut sudah rosak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohamad Nahar, fenomena air pasang besar kali ini lebih buruk kerana paras naik dikatakan baik lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Katanya, fenomena air pasang besar di kawasan Bagan Datuk berlaku sejak 16 September lalu dan keadaan semakin buruk apabila ombak besar kerap melanda kawasan pantai di sini.

“Kejadian air pasang besar yang berlaku pada kira-kira pukul 6 pagi semalam menyebabkan ombak tinggi sehingga air limpah lepasi ban atau benteng penahan air laut.

“Jadi kami harap pihak berkenaan dapat memperbaiki pelantar ikan yang rosak ini untuk kemudahan kami. Buat masa ini kami terpaksa menumpang di pelantar ikan di kampung berdekatan.

“Kami harap pelantar ikan yang diperbaiki nanti lebih kukuh dan selamat untuk kami,” katanya.

Kelmarin, sebuah pelantar ikan dan restoran di Bagan Su­ngai Burung, Rungkup mengalami kerosakan selepas dilanda ombak berikutan fenomena air pasang besar.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Mohd. Faz­ly Mohamad Zawawi berkata, berdasarkan laporan diterima, berlaku hujan lebat dan ribut petir di kawasan berkenaan me­lebihi dua jam sejak pukul 4 pagi.

Menurutnya fenomena air pasang besar telah bermula sejak Isnin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya