Naufal Isa mencari tapak seni - Utusan Malaysia

Naufal Isa mencari tapak seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI, Naufal Isa, 27, telah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan untuk melepaskan sementara kumpulan duo, The Truth yang diasaskan bersama rakan, Irwan Fariz. 

Bukan mudah pasangan sahabat baik ini memutuskan untuk membawa haluan masingmasing, lebih-lebih selepas lagu, Cinta Sementara dan Infiniti yang mereka rakamkan, meledak di media sosial. 

Namun, kerana komitmen peribadi, selain penamatan kontrak bersama label Tarbiah Sentap pada 2021, keputusan untuk merehatkan seketika kumpulan itu, terpaksa diambil. 

“Saya dan Irwan sibuk dengan urusan masing-masing selepas tidak lagi bernaung di bawah Tarbiah Sentap. Perniagaan pakaian yang kami usahakan bersama juga terpaksa kami pecahkan. 

“Kami berdua pun masing-masing sudah berumah tangga. Irwan pula membuat keputusan untuk menetap di Kedah. 

“Banyak kekangan untuk kami teruskan The Truth, lebih-lebih lagi dalam kesibukan kami menguruskan kehidupan masing-masing. 

“Pada masa yang sama, kami perlukan masa dan kewangan yang mencukupi sekiranya mahu terus aktif dalam kumpulan ini. Buat masa sekarang, kami pilih untuk berehat sementara sebagai satu kumpulan,” kata Naufal. 

Keinginan Naufal untuk meneruskan kerjaya nyanyiannya tidak terhenti. Justeru, dia memutuskan untuk bergerak secara solo. 

Naufal atau nama sebenarnya Muhammad Naufal Mohamad Isa memanfaatkan platform dalam talian dan media sosial dengan berkongsi nyanyiannya membawakan lagu-lagu cover dalam platform tersebut. 

Itu usahanya untuk mencari tapak dalam dunia seni tempatan. Pada masa sama, graduan Diploma Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah ini tidak melepaskan peluang untuk berkolaborasi dengan penyanyi lain, antaranya munif Hijjaz, Furqan Fawwaz dan Aiman Sidek.

Naufal juga tidak mensia-siakan tawaran untuk sekali lagi merakamkan lagu bersama Tarbiah Sentap. 

Hasil perbincangan kedua pihak, maka terhasillah single solo pertamanya yang bertajuk Bila Sudah Jatuh Cinta ciptaan Akmal Mustafa. 

“Ia adalah lagu ketuhanan yang dihasilkan dengan sedikit pengaruh muzik Pop Jepun (J-Pop). 

“Persoalan yang penulis dan pencipta lagu, Akmal Mustafa bangkitkan didalamnya adalah setinggi mana rasa cinta kita kepada Allah, dalam kita melunas tuntutan sebagai seorang Muslim. 

“Berulang kali juga saya dengar lagu ini untuk dapatkan penghayatannya. Liriknya tidaklah berat, tetapi perlu difahami dengan sebaiknya untuk mendapatkan penghayatan yang sebenar,” kongsinya.

MENCARI TITIK KESAMAAN

Selain menyanyi, Naufal juga mengusahakan perniagaan tudung, Minimanis bersama isterinya, Nur Amira Husna. 

Katanya, pelbagai cabaran dihadapi dia dan isteri, tatkala bersama-sama mengembangkan perniagaan tersebut. 

“Setiap pasangan suami isteri akan diuji dengan cabaran yang berbeza-beza, lebih-lebih lagi apabila bersama-sama mengusahakan sesebuah perniagaan. Kami juga berdepan ujian yang sama. 

“Sebagai dua individu berbeza, pandangan suami isteri ada masanya bercanggah sebab masing-masing mempunyai kehendak yang berlainan. 

“Disebabkan itu, kami akan sentiasa mencari titik kesamaan dan sentiasa bertoleransi. Itu membuatkan hubungan kami bertambah ‘manis’,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya