Nasi kandar berpasir dan tidak asli? Itu kenyataan orang tidak profesional - Anis Nabilah - Utusan Malaysia

Nasi kandar berpasir dan tidak asli? Itu kenyataan orang tidak profesional – Anis Nabilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cef selebriti dan pengacara, Anis Nabilah menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemenang Masterchef Indonesia yang mendakwa rasa nasi kandar negara ini seperti berpasir dan tidak asli adalah tidak beradab serta profesional.

Kata Anis atau nama sebenarnya, Anis Nabilah Umaruddin, 38, sebagai seorang cef adalah tidak wajar untuk mengeluarkan kenyataan itu kerana dianggap tidak menghormati makanan tradisi negara lain.

“Tidak dinafikan dia pandai memasak. Pada saya, rasa ini sangat subjektif. Saya sudah pergi serata dunia dan mencuba pelbagai jenis makanan termasuk menu pelik.

“Sekali pun saya tak pernah menghina makanan sama ada di hadapan atau belakang orang. Apatah lagi ketika ingin memberikan komen di televisyen atau media sosial.

“Kita kena hormat terutama sekali makanan tradisional negara lain. Sebagai manusia yang ada adab, kita tidak akan berkata buruk tentang tradisi orang lain. Mungkin dia kurang adab. Jadi, tak perlulah kita beri perhatian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anis berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran outlet terbaharu, Illy Caffe di Nu Sentral baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, pengacara program Icip-Icip itu turut meminta orang ramai untuk tidak memberikan perhatian terhadap cef itu.

Menurut Anis, sekiranya kita terus memberikan perhatian, individu tersebut akan merasakan dirinya lebih besar.

“Keluarga ibu saya berasal dari Pulau Pinang. Jadi, saya memang dibesarkan dengan makan nasi kandar. Saya nampak ramai yang marah bila berita tersebut tersebar. Saya juga terkejut.

“Pada saya, ia tidak sopan. Namun, lebih baik kita tidak berikan perhatian. Bila ramai yang kongsi dan berikan komen, lebih banyak kuasa yang kita berikan kepada individu tersebut,” ujarnya.

Selain itu, Anis turut berkongsi bahawa dia juga tidak pernah melihat chef-chef terkemuka dunia memberikan komen-komen jelik terhadap makanan tradisi sesebuah negara.

“Saya tak tahu kenapa dia buat kenyataan tersebut. Sebagai seorang profesional, kita tidak akan keluarkan kenyataan seperti itu.

“Malah, chef terhebat dunia pun tidak akan bercakap sebegitu. Kalau tak sedap, mereka akan kata makanan tersebut mungkin tidak sesuai dengan tekak.

“Mungkin pemilihan kata-katanya agak teruk atau mungkin dia tidak profesional,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN