Nanti datanglah dalam mimpi - Kucing kesayangan Ernie mati - Utusan Malaysia

Nanti datanglah dalam mimpi – Kucing kesayangan Ernie mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri, berkongsi berita duka memaklumkan kucing kesayangannya telah mati pada Sabtu.

Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, menyifatkan kehilangan kucing bernama Matdo itu begitu sakit sama seperti apa dirasanya ketika pemergian manusia yang disayang.

“Mungkin ramai tidak tahu, saya ada dua ekor kucing iaitu MatYo dan MatDo. Hari ini MatDo sudah pergi tinggalkan kami. Saya tidak pernah rasa kehilangan kucing sebelum ini, tapi hari ini saya tahu.

“Rasanya sakit sama seperti kehilangan orang yang disayang,” tulis Ernie dalam satu hantaran di Instagram.

Malah, penyanyi Masing Masing itu turut berkongsi, kucing berkenaan adalah hadiah ulang tahun kelahiran yang diberikan suami, Syamel Aqmal ketika usianya 25 tahun.

“Matdo sudah tujuh tahun dengan kami. Dia sangat istimewa. Macam sesi terapi setiap kali bercakap dengannya selepas balik kerja.

“Kami sudah jaganya dengan baik. Kakak sayang Edo (panggilan untuk kucing). Kakak akan simpan Edo kuat dalam hati. Nanti datanglah dalam mimpi ya,” tambahnya lagi.

Hantaran Ernie mengundang perhatian ramai yang rata-ratanya turut bersimpati dengan pemergian kucingnya itu.

“Saya pernah rasa apa yang awak alami. Sakitnya macam hilang orang yang tersayang membuatkan saya takut untuk ada kucing lagi. Saya hanya beri kucing jalanan makan sahaja atau kucing yang datang di kaki semasa di kedai makan,” tulis pereka fesyen, Hatta Dolmat.

“Semoga Allah menyembuhkan rasa sedih kamu dan diberi ketenangan,” kata penyanyi, Anuar Zain.

“Peluk untukmu,” komen pelakon Nabila Huda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN