Nama Zayn Rayyan Abdul Matiin kekal dalam pertuduhan, permohonan peguam ditolak - Utusan Malaysia

Nama Zayn Rayyan Abdul Matiin kekal dalam pertuduhan, permohonan peguam ditolak

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi sebutan ke pengabaian anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin. UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nama kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin kekal dalam pertuduhan selepas pihak pendakwaan menolak permohonan pembelaan untuk membuat pindaan dengan memasukkan nama bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dalam dokumen berkenaan.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh mengekalkan butiran dalam kertas pertuduhan selepas Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa pihaknya tidak membuat sebarang pindaan seperti yang dipohon pembelaan.

“Permohon pindaan dikemukakan secara lisan pada prosiding terdahulu. Permohonan ini ditolak dan nama tersebut dikekalkan dalam kertas pertuduhan,” ujar beliau pada prosiding sebutan hari ini.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf dituduh mengabaikan anak mereka di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Sementara itu, peguam Fahmi Abd. Moin berkata, meskipun permohonan dikemukakan secara lisan, pihaknya telah meminda butiran pada sijil kelahirannya dengan memasukkan nama Zaim Ikhwan sebagai bapa kanak-kanak berkenaan.

“Pindaan itu merujuk kepada individu yang sama (Zayn Rayyan) dan disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Namun jika mahkamah mengarahkan kami membuat permohonan dengan memasukkan afidavit, kami akan mematuhinya,” ujar beliau yang hadir bersama-sama peguam Ilyani Khuszairy mewakili pasangan tersebut.

Pada prosiding terdahulu, Fahmi memaklumkan, sijil kelahiran baharu telah dikeluarkan dan diterima pada 4 Julai lalu yang mana nama kanak-kanak itu kini ditukar kepada Zayn Rayyan Zaim Ikhwan.

Sementara itu, Fahmi ketika ditemui pihak media di luar mahkamah memaklumkan, permohonan pindaan itu ditolak tanpa menyatakan alasan yang kukuh.

Sehubungan itu, pasukan pembelaan akan berbincang semula dengan keluarga tertuduh sama ada mengemukakan notis usul untuk menukar nama Zayn Rayyan dalam kertas pertuduhan.

“JPN telah mengesahkan nama Zayn Rayyan Zaim Ikhwan, bukan (berbinkan) Abdul Matiin. Namun kami hormati keputusan mahkamah dan akan berbincang dengan ahli keluarga (untuk tindakan selanjutnya),” ujar beliau.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN