Nak dapat gambaran jelas kena tengok - Sanusi pertahan lawatan ke Jepun - Utusan Malaysia

Nak dapat gambaran jelas kena tengok – Sanusi pertahan lawatan ke Jepun

MUHAMMAD Sanusi Md Nor (tengah) sedang menandatangani novel mengenai sejarah hidupnya bertajuk ‘Dinding Sekeping Adik Seorang’ yang dibeli orang ramai sempena Pesta Buku Kedah 2024 di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan beliau perlu mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai proses operasi pengurusan takungan air bawah tanah sebelum dilaksanakan di Kedah.

Mempertahankan tindakannya mengadakan lawatan ke Jepun baru-baru ini, Muhammad Sanusi berkata, beliau mempunyai skop tugas yang tersendiri di samping jurutera yang turut serta dalam lawatan itu minggu lalu.

“Sebenarnya yang paling tepat sekali apa yang diceritakan kepada kita, kita pi tengok dan nilai, kita bawa pakar-pakar. Depa kata bukan kerja menteri besar dok pi mengaji empangan bawah tanah tapi saya kena tahu.

“Kita yang memimpin bukan kena reti teknikal itu, namun mesti ada gambaran yang jelas baru boleh ketuai agensi teknikal. Nak dapat gambaran jelas kena tengok, kena teliti. Penelitian saya mungkin tak sama dengan jurutera, saya punya penelitian dalam skop saya  dan jurutera dalam skop dia, kita pi dalam satu kumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Kedah 2024 di sini, hari ini.

Terdahulu, beberapa pihak menyelar tindakan Muhammad Sanusi mengadakan lawatan rasmi ke luar negara ketika banjir melanda negeri itu sehingga ada yang mendakwa beliau pergi untuk berbulan madu bersama isteri keduanya selain mempersoal keperluannya berada dalam lawatan itu.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, satu naskhah rumusan tentang lawatan itu akan dikemukakan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenaan masa depan air di Kedah.

“Sama ada air di permukaan atau bawah tanah, maklumat itu akan kita ringkaskan daripada dokumen-dokumen yang kita perolehi di Jepun. Takungan bawah tanah yang dibuat mereka ambil masa 13 tahun untuk disiapkan dengan kos AS$370 juta pada masa itu.

“Saya rasa ada kaedah yang lebih murah, air bawah tanah tak teroka lagi kita nak terus pergi empangan bawah tanah, pada pandangan saya perlu dinilai semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN