Najib tidak pernah minta kajian kebolehlaksanaan dilakukan

Najib tidak pernah minta kajian kebolehlaksanaan dilakukan

Najib Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak pernah meminta kajian kebolehlaksanaan (feasibility) dilakukan sebelum pinjaman oleh SRC International Sdn. Bhd. daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) diluluskan.

Ini kerana, kata Najib, beliau mempunyai keyakinan terhadap pengurusan syarikat (SRC International) ketika itu.

Selain mempunyai individu-individu yang berkemahiran dalam Lembaga Pengarah SRC International, ahli-ahli lembaga itu juga mampu untuk membantu memastikan wang syarikat dibelanjakan secara produktif.

Najib berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Lim Chee Wee yang mewakili SRC International dalam kes saman yang difailkan syarikat itu pada 7 Mei 2021 terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan Nik Faisal bagi menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

Chee Wee: Walaupun anda menyatakan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) berpuas hati bahawa SRC dapat membayar balik pinjaman, adakah anda sebagai Perdana Menteri meminta sebarang usaha wajar yang dijalankan?
Najib: Saya pada mulanya mempunyai keyakinan dalam pengurusan untuk melakukan apa yang perlu, supaya SRC dapat menghasilkan pulangan pada ketika itu.

Chee Wee: Itu bukan soalan saya. Soalan saya ialah anda, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika mempengerusikan mesyuarat, adakah meminta kajian kebolehlaksanaan?
Najib: Saya tidak meminta kajian pada masa itu kerana saya yakin dengan pihak pengurusan.

Chee Wee: Anda sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, dan Pengerusi Lembaga Penasihat,
mesti berpuas hati mengikut Akta 96 Akta Jaminan Pinjaman (Badan Korporat) 1965?
Najib: Pada masa itu, saya berpuas hati.

Dalam tindakan saman itu, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan.

Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC International yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN