Najib masih di hospital, hujahan tangguh 17 Sept.

Najib masih di hospital, hujahan tangguh 17 Sept.

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menerima rawatan akibat sakit lutut akut di Hospital Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, pendengaran hujahan di akhir pendakwaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya bersambung hari ini ditangguhkan kepada Selasa depan.

Najib mula dimasukkan ke HKL sejak petang Isnin lalu dan kini diberikan opioid bagi melegakan kesakitan yang dihadapinya.

Perunding kanan Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HKL, Dr. Siti Hawa Tahir ketika hadir ke Mahkamah Tinggi bagi memberitahu status terkini kesihatan Najib menyatakan, penilaian keadaan Najib dibuat setiap hari.

“Berdasarkan penilaian semalam, Najib masih lagi perlukan rawatan. Namun, sejak diberikan opioid, kesakitannya telah berkurangan dan pasukan perubatan yang memantau kesihatannya akan mula kurangkan dos.

“Tetapi disebabkan Najib turut mengalami `sleep apnea’, kami masih perlu memantaunya secara dekat selagi beliau diberikan opioid kerana `sleep apnea’ boleh menyebabkan komplikasi pernafasan,”katanya.

Tambah doktor terbabit, disebabkan tahap kesakitan Najib mula berkurangan, pasukan perubatan juga akan memulakan fisioterapi untuk bekas Ahli Parlimen Pekan itu yang mungkin akan mula menggunakan alat bantuan seperti tongkat bagi membantu pergerakannya.

Ketika ditanya Hakim Sequerah mengenai keadaan mental Najib sama ada masih dipengaruhi ubatan atau sudah boleh menghadiri prosiding esok (Jumaat), Dr. Siti Hawa menyatakan berkata, pakar psikiatri adalah lebih sesuai untuk memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut.

“Apabila kami berbual, Najib boleh faham dan beliau dapat menyampaikan mesej mengenai gejala yang dialaminya. Bagaimanapun, pakar psikiatri ialah pihak yang paling sesuai menjelaskan keadaan mental beliau sebelum dapat ke mahkamah kerana pembersihan ubat daripada darahnya akan mengambil masa beberapa jam,” kata Dr. Siti Hawa.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan menutup kes mereka pada 30 Mei lalu dan hujahan akhir pendakwaan bermula pada 18 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN