MyCOMIC anjur Kolokium Komik Digital Malaysia

MyCOMIC anjur Kolokium Komik Digital Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Komik dan Webkomik Malaysia (MyCOMIC) bakal menganjurkan Kolokium Komik Digital Malaysia (KKDM24) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 13 hingga 15 September ini.

Setiausaha Agung MyCOMIC, Fythullah Hamzah berkata, KKDM24 adalah persidangan kali kedua sempena Malaysia Digital Content Festival (MYDCF) anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Beliau berkata, kolokium itu bukan sahaja menaikkan keterlihatan proses kreatif tetapi menyelami hala tuju masa depan komik dalam bidang akademik.

“Wakil dari pelbagai institusi pengajian tinggi akan hadir untuk membentangkan kertas kerja berhubung akademi dan pada masa sama diadakan sesi perbincangan mengenai Pengaruh Kecerdasan Buatan terhadap Hak Cipta serta topik berkaitan Komik Dalam Talian (web-komik).

“Pada hari kedua pula berlangsung penyampaian hadiah kepada pemenang Cabaran Komik Malaysia ke-9 (CKOM-9) yang diadakan untuk kali kesembilan dalam usaha mencungkil bakat baharu komik Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

FYTHULLAH HAMZAH

Sementara itu katanya, sebanyak 14 poster kajian akademik akan dipamerkan oleh MDEC dengan kerjasama MyCOMIC dan SIGGRAPH ASIA KL yang memaparkan kajian serta penyelidikan terkini sektor seni visual.

“Peranan MyCOMIC adalah menjadi pakar rujuk dalam seni visual komik untuk sarjana tempatan serta sarjana luar negara.

“Kolokium Komik Digital Malaysia juga akan menjadi satu platform pertukaran kajian akademik bagi menyambut usaha kolaborasi dengan komuniti antarabangsa seperti The Korean Cartoon and Webtoon Society (Coweko).

“MyCOMIC akan terus mengkaji dan menggarap pelbagai aspek sosiobudaya kehidupan merentasi pendekatan autobiografi, biografi, sejarah, jurnalisme dan seumpamanya bagi memungkinkan cabang seni ini diangkat sebagai suatu disiplin ilmu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN