PETALING JAYA: “Rossa ini wanita ‘gila’. Banyak sejarah dia cipta. Banyak juga jasa dia menyatukan rakyat Malaysia dan Indonesia menerusi muziknya.”
Demikian perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin, Datuk Aizuddin Ghazali ketika bercerita tentang peribadi penyanyi sohor Indonesia, Datuk Seri Rossa.
Kongsi Aizuddin, menerusi filem dokumentari All Access to Rossa 25 Shining Years, penonton akan melihat kehebatan luar biasa penyanyi Tegar itu dalam mengemudi pelayaran seninya selama suku abad.
“Sebenarnya banyak sejarah yang dicipta Rossa sepanjang kariernya di Malaysia. Luar biasa. Dia merupakan penyanyi solo wanita pertama yang berjaya mengadakan konsert berskala besar di Istana Budaya.
“Dia juga suka buat kerja gila, penuh kejutan. Saya sebagai penganjur konsertnya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan penyanyi hebat ini. Sebab itu kami yakin dengan filem dokumentari ini.
“Umum juga tahu, walaupun mungkin tiket konsertnya mahal berbanding konsert lain, namun dia tidak lupa untuk menyumbangkan sebahagian hasil jualan untuk kebajikan dan pihak-pihak memerlukan,” ujarnya.
Aizuddin berkata demikian ketika sidang media All Access to Rossa 25 Shining Years di Pavillion, di sini, semalam.
Filem dokumentari 25 tahun karier seni Rossa itu memaparkan sisi berbeza dan menyingkap kehidupan peribadi yang selama ini dirahsia antaranya kisah dia dengan bekas suaminya, Yoyo.
Bakal ditayangkan 18 Oktober depan, All Access to Rossa 25 Shining Years mendapat sentuhan sutradara, Ani Ema Susanti dan turut menampilkan temubual eksklusif bersama anaknya, Rizky Langit Ramadan.
Dalam pada itu, Rossa mengharapkan agar naskhah tersebut menjadi inspirasi kepada penonton terutama wanita untuk terus berusaha agar impian mereka menjadi kenyataan.
“Banyak cerita yang saya kongsi ada hal-hal positif yang boleh diambil. Saya berasa semua wanita memiliki kekuatan yang luar biasa. Cuma kebetulan saja saya ada waktu dan peluang untuk bercerita, jadi secara umumnya, (kisah) saya seperti mewakili semua wanita.
“Tidak kira penyanyi atau apa sahaja bidang, jika mahukan karier yang panjang, banyak cabaran yang perlu dilalui selain memerlukan banyak kesabaran dan perjuangan serta rasa tidak putus asa,” katanya.
Filem berdurasi 90 minit itu membawa penonton menyelami sisi lain penyanyi berusia 45 tahun itu yang jarang diketahui ramai dan turut menampilkan rakan seperjuangannya termasuk Melly Goeslaw, Ariel dan Afgan.
Lebih menarik, Rossa turut berkongsi beberapa kisah peribadi, antaranya, perceraian dengan suaminya Surendro Prasetyo atau Yoyo yang merupakan pemain drum kumpulan Padi pada tahun 2009.-UTUSAN