Murid berpengalaman tanam semula pokok di Cameron Highlands

Murid rasai pengalaman program penanaman semula pokok

MURID yang menjayakan program menanam semula pokok di Cameron Highlands baru-baru ini. – UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 34 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Brinchang menyertai program menanam semula pokok di Gunung Brinchang di Cameron Highlands baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada murid Tahun 4 hingga Tahun 6 itu merasai pengalaman mendaki sejauh 400 meter untuk sampai ke tapak program di Pusat Biodiversiti Reach, Gunung Brinchang.

Murid yang ditemui gembira kerana dapat merasai pengalaman menanam pokok demi menjaga hutan di tanah tinggi itu.

Muhammad Haikal Wafiy Yusuf, 11, berkata, ini kali pertama dia menyertai program seumpama itu dan gembira kerana merasai pengalaman pertama kali menanam pokok.

“Saya rasa seronok dapat mendaki gunung tersebut bersama kawan-kawan kerana ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke Gunung Brinchang.

“Bukan itu sahaja, saya tertunggu-tunggu dan teruja untuk menanam pokok kerana ia juga merupakan pengalaman pertama,” katanya.

Menurutnya, aktiviti sedemikian wajar diadakan pada masa akan datang kerana ia merupakan aktiviti yang sangat bermanfaat terutamanya untuk murid-murid sekolah rendah.

“Jika program begini dianjurkan lagi tahun hadapan, saya dan kawan-kawan memang mahu sertai lagi,” katanya.

Sementara itu, Guru Pengiring mereka, Jean Chan Chin Chian, 31, berkata, selain membantu memulihara alam sekitar, rasa cinta terhadap alam sekitar dapat dipupuk melalui program sebegini.

“Melalui program ini, murid-murid dapat mengenali jenis-jenis pokok, cara penanamannya dan kepentingan pokok terutamanya dalam proses pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Katanya, ini merupakan tahun kedua SK Brinchang menyertai program penanaman semula pokok yang dianjurkan oleh Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) dan berharap program seperti ini akan dianjurkan lagi.

Sementara itu, Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, pihaknya membuka peluang kepada pelajar-pelajar di sekolah-sekolah di Cameron Highlands ini termasuk sekolah Orang Asli untuk bersama-sama menanam pokok demi kelestarian alam.

Kata beliau, pihaknya telah menanam kira-kira 2,800 anak pokok yang dibeli daripada perkampungan Orang Asli sekitar Cameron Highlands.

“Program ini bertujuan memupuk rasa cinta terhadap alam sekali gus memberi kese­da­ran kepada mereka betapa penting­nya alam sekitar untuk generasi yang akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN