PETALING JAYA: Kerajaan didakwa menggunakan instrument undang-undang dan institusinya untuk menyekat kebebasan bersuara terutama terhadap musuh politiknya.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjuangan parti didukungnya untuk mempertahankan hak orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan agama Islam.
Bagaimanapun, menurut beliau, perjuangan yang tidak menjejaskan hak kaum dan agama lain seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan dikatakan sebagai kesalahan 3R (agama, raja dan kaum).
Katanya, pemimpin-pemimpin Bersatu akan dituduh menghasut dan boleh didakwa di mahkamah walaupun tujuannya semata-mata untuk menegakkan perjuangan parti yang sah.
“Mulut kita hendak ditutup, kaki dan tangan kita hendak diikat. Ironinya, kerajaan ini ketika di zaman pembangkang dahulu kuat memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat atas nama reformasi.
“Hari ini mereka menjadi diktator paling rakus. Mereka tanpa segan silu menggunakan instrumen undang-undang dan institusi kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat, khususnya lawan politik mereka,” katanya di dalam satu kenyataan bersempena dengan ulang tahun Bersatu yang kelapan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin mendakwa, kerajaan berbuat demikian hanya kerana kepentingan politik iaitu untuk terus kekal berkuasa.
Dakwanya, kerajaan sedang cuba membina sebuah naratif politik berasaskan acuan politiknya yang tidak mengiktiraf kedudukan bangsa pribumi sebagai bangsa teras di negara ini.
“Cabaran besar bagi mereka ialah acuan pemikiran politik songsang mereka ini ditolak oleh bangsa pribumi. Selagi mana bangsa pribumi yang merupakan golongan majoriti di negara ini tidak menerima acuan pemikiran politik mereka, maka kuasa politik mereka tidak akan terjamin.
“Maka, mereka sedang terdesak untuk membina suatu hegemoni pemikiran baharu dalam kalangan rakyat, khususnya orang Melayu, yang tidak lagi mengiktiraf hak dan kedudukan istimewa bangsa pribumi di negara ini.
“Kerana itulah mereka begitu rakus menyekat kebebasan kita untuk menyuarakan hak orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas perjuangan parti kita,” katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerajaan mengunakan cara paling kotor, tidak demokratik dan tidak berperlembagaan.
Jelasnya, tindakan mencabul hak kebebasan rakyat bakal menjerumuskan Malaysia ke gaung negara diktator.
“Namun mereka tidak peduli kerana kebimbangan mereka hanya satu. Selagi mana kita bersuara, selagi itulah perancangan songsang mereka akan terencat,” ujarnya. – UTUSAN