Muktamar Pas jadi medan fitnah, maki hamun - Saifuddin 

Muktamar Pas jadi medan fitnah, maki hamun – Saifuddin 

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muktamar Tahunan ke-70 Pas yang berlangsung minggu lalu didakwa mencatat sejarah dan kemuncak politik kebencian parti itu yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam kalangan masyarakat.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, segala bentuk cacian dan kebencian telah dihidangkan oleh para pemimpin Pas dalam ucapan dan resolusi mereka pada Muktamar tahunan parti tersebut.

Katanya, antara ucapan dibangkitkan dalam perhimpunan parti tersebut adalah membandingkan kerajaan Perpaduan dengan golongan munafik di Madinah sekali gus ia tidak tepat dan mengelirukan.

“Daripada sudut agama, adalah tidak wajar untuk menuduh sesiapa sebagai munafik kerana keimanan seseorang hanya diketahui Allah dan kita sebagai manusia tidak mempunyai hak atau kemampuan untuk menilai keimanan orang lain.

“Perlu diingatkan bahawa semasa Pas dalam Kerajaan Persekutuan (2020-2022), tiada usaha untuk mengharamkan arak dan perjudian, menunjukkan isu ini lebih kompleks. 

“30 bulan lebih Pas menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuktikan di sebalik retorik-retoriknya, Pas sebenarnya lompong dan ketandusan idea dalam memimpin dan membangunkan negara. Kegagalan ini jelas apabila rakyat sendiri terpaksa memulakan Kempen Bendera Putih untuk membantu sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

GOLONGAN MUNAFIK

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar mendakwa pentadbiran kerajaan Perpaduan seperti meneruskan agenda sebagaimana golongan munafik pada zaman awal Islam di Madinah.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang merupakan Menteri Dalam Negeri berkata, walaupun Pas kini memerintah empat negeri dengan sebahagiannya majoriti penuh, tindakan serupa masih belum diambil. 

“Ini membuktikan bahawa pelaksanaan dasar memerlukan pertimbangan lebih luas dan Pas kekurangan idea dalam memimpin negara. Ini menunjukkan bahawa pelaksanaan dasar-dasar tersebut bukan sekadar isu kekuasaan politik, tetapi melibatkan pertimbangan yang lebih luas,” katanya.

Menurut Saifuddin, Pas hari ini telah menyimpang jauh dari perjuangan asal diasaskan oleh tokoh-tokoh seperti Tan Sri Nik Aziz Nik Mat, Prof. Dr Zulkifli Muhammad, Dr Burhanuddin Al Hilmi, Datuk Fadzil Mohd Noor dan Yusuf Rawa.

“Adakah ahli-ahli Pas sedar bahawa di sebalik hujah-hujah disaluti Al Quran dan hadis adalah sikap-sikap dan tindak-tanduk yang sebenarnya menyeleweng daripada ajaran Islam?

“Adakah pengikut dan pemimpin Pas sedar bahawa nilai, pendirian, risalah dan pendekatan mereka semakin menyerupai golongan Khawarij dan Hadi Awang bertanggungjawab sepenuhnya menyemai nilai-nilai dan amalan-amalan ini sejak 40 tahun dahulu?” soalnya.

Kata Saifuddin, semua pihak harus mengelakkan retorik yang memecah-belahkan dan sebaliknya mengutamakan dialog konstruktif untuk menangani cabaran negara. 

“Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, kenyataan perlu berdasarkan fakta dan membawa perpaduan, bukan perpecahan. Kita juga harus kritis dalam menilai penggunaan agama, membezakan antara kepentingan politik dan kebaikan ummah secara tulen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya