Muhyiddin kekal didakwa tujuh pertuduhan - Utusan Malaysia

Muhyiddin kekal didakwa tujuh pertuduhan

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyemak semula keputusan yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

Panel lima hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azizah Nawawi sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati mahkamah-mahkamah terdahulu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan Muhyiddin.

“Kami mendapati permohonan responden (pendakwaan) untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengetepikan empat pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Panel Mahkamah Rayuan terdahulu juga mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan rayuan itu.

“Oleh itu, permohonan semakan adalah ditolak,” kata Azizah.

Turut bersidang dalam panel sama ialah Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Pada prosiding hujahan sebelum ini, peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik menimbulkan isu bidang kuasa Mahkamah Rayuan untuk ‘menghidupkan semula’ empat pertuduhan yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dengan keputusan hari ini, Muhyiddin kekal dibicarakan atas tujuh pertuduhan termasuk tiga pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 27 September ini.

Pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah memutuskan agar keempat-empat pertuduhan itu ‘dihidupkan semula’ selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membatalkan kesemua pertuduhan itu.

Muhyiddin memfailkan permohonan semakan tersebut pada 29 Februari lalu atas alasan antaranya panel tiga hakim itu telah memutuskan bahawa empat pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah jelas.

Oleh itu, tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan itu dilakukan.

Dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 15 Ogos 2023, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas mendapati keempat-empat pertuduhan berkenaan adalah cacat, tidak berasas dan tidak jelas.

Beliau berpuas hati, pertuduhan yang dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak mendedahkan butiran kesalahan yang dilakukan menyebabkan tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam mewakilinya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta, kesemua­nya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi Bersatu.

Semua perbuatan itu di­dakwa dilakukan di Pejabat Per­dana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Perseku­tuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya