MQAIC 2024 platform tingkat kualiti pendidikan tinggi global

MQAIC 2024 platform tingkat kualiti pendidikan tinggi global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan menganjurkan MQA International Conference 2024 (MQAIC 2024) di Kuching, Sarawak pada 11 hingga 13 November 2024.

Menghimpunkan pakar jaminan kualiti, pengurusan tertinggi universiti, ahli akademik, persatuan institusi pendidikan tinggi, wakil industri dan pemimpin pelajar, MQAIC 2024 bakal menjadi platform dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di persada global.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, persidangan antarabangsa MQA yang kali kedua diadakan itu bertujuan menggalakkan pertukaran idea dan kerjasama dalam bidang pendidikan serta latihan dalam kalangan peserta.

Beliau berkata, buat julung kalinya MQA turut mengadakan President’s Forum mengumpulkan pemimpin IPT tempatan, presiden badan jaminan kualiti antarabangsa dan wakil kedutaan di Malaysia untuk sesi dialog yang bakal dipengerusikan sendiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

“Lebih istimewa, Yang Berhormat Menteri akan turut menyampaikan ucaptama pada sesi perasmian MQAIC 2024.

“Persidangan antarabangsa yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini akan memberi fokus bukan hanya kepada cabaran dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi, malah menjadi medan perkongsian idea dan maklumat mengenai inisiatif terkini dalam arena pendidikan tinggi antarabangsa,” katanya.

Bertemakan ‘Global Quality Higher Education’ (Pendidikan Tinggi Berkualiti Global), dijangkakan seramai 300 peserta akan hadir ke persidangan itu yang turut membincangkan empat subtema iaitu ‘Changing Educational Landscapes’, ‘Collaborative Partnership’, ‘Adaptive Technology’ dan ‘TVET Employability’.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, dalam era Revolusi Industri 4.0 dan Society 5.0, sesebuah organisasi tidak boleh bekerja sendirian dan memerlukan jaringan global yang kukuh untuk terus maju.

Beliau berkata, dalam usaha untuk kekal berdaya saing pendidikan tinggi perlu lebih tangkas (agile) mendepani trend masa hadapan melalui penerokaan berterusan pendekatan baharu dan amalan berinovasi.

Menyedari hakikat itu, beliau berkata, pihaknya turut memanfaatkan pertemuan dengan beberapa badan jaminan kualiti antarabangsa di persidangan itu untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik serta mendapatkan pengiktirafan bersama.

“MQA dijadual mengadakan pertukaran MoU dengan beberapa agensi dari Asia Tenggara, Asia Pasifik dan Eropah dalam memperkukuh hubungan dua hala serta merancakkan lagi aktiviti perkongsian maklumat berkaitan jaminan kualiti global,” katanya.

Bagi yang berminat untuk menyertai persidangan ini boleh mendaftar sekarang dengan mengisi e-borang menerusi pautan https://www2.mqa.gov.my/MQATC/listpublic_info.cfm?workshop_id=MQAIC_Participant_2024

Sebarang maklumat lanjut, boleh didapati di portal rasmi persidangan antarabangsa ini iaitu mqaic.mqa.gov.my

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN