Mpox boleh merebak melalui sentuhan - KKM - Utusan Malaysia

Mpox boleh merebak melalui sentuhan – KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, jangkitan cacar monyet atau Mpox boleh merebak melalui sentuhan dan titisan pernafasan atau aerosol.

Dalam satu perkongsian di hantaran Facebook, Kementerian itu berkata, penyakit Mpox boleh merebak dalam kalangan manusia melalui beberapa cara.

“Penularan dari individu yang dijangkiti Mpox ke individu lain boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan kulit individu yang dijangkiti termasuk hubungan seksual, serta permukaan objek yang dicemari oleh cecair badan pesakit Mpox.

“Penularan juga boleh berlaku melalui titisan pernafasan atau aerosol kepada individu yang bersemuka atau kontak rapat yang berpanjangan,” menurut hantaran itu.

Media sebelum ini melaporkan, hanya satu kes cacar monyet atau Mpox disahkan positif clade 1 daripada keseluruhan 58 kes wabak itu yang dirujuk kepada Kementerian Kesihatan sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dilapor berkata, pesakit tersebut merupakan seorang lelaki tempatan yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak, dan batuk pada 11 September manakala ruam mula muncul pada 12 September.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebelum ini mengisytiharkan Mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) buat kali kedua pada 14 Ogos berikutan penularan clade Ib, iaitu virus yang lebih pantas di Republik Demokratik Congo dan negara-negara jiran di rantau Afrika. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN