MoU peruntukan contoh pencerobohan kuasa eksekutif terhadap legislatif

MoU peruntukan contoh pencerobohan kuasa eksekutif terhadap legislatif

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kewujudan memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dengan Ahli Parlimen pembangkang disifatkan sebagai bercanggahan dengan amalan demokrasi berparlimen.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ciri penting Perlembagaan Persekutuan adalah pengasingan kuasa yang bertujuan memelihara tiga badan utama iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman supaya bebas menjalankan peranan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, kewujudan MoU tersebut mengikat peranan dan fungsi Ahli Parlimen pembangkang yang merupakan badan legislatif di Dewan Rakyat.

“Ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang atau bebas apabila mereka telah menandatangani dokumen angkat sumpah mereka di hadapan Yang di Pertua Dewan Rakyat atau Speaker maka mereka terikat dengan sumpah tersebut.

“Tidak perlu menandatangani satu lagi dokumen yang bernama MoU antara kerajaan dan pihak pembangkang.

“Sifat mengikat MoU itu akan memandulkan dan membonsaikan peranan Ahli Parlimen pembangkang dan gabungan parti pembangkang di Parlimen,” katanya dalam hantaran dimuatnaik di Facebook miliknya.

Mengulas lanjut, bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, MoU tersebut mengakibatkan Ahli Parlimen pembangkang hilang kebebasan untuk berperanan sebagai kuasa efektif menjadi semak dan imbang terhadap kerajaan.

Malah, tegasnya, Ahli Parlimen pembangkang dan gabungannya yang merupakan kerajaan bayangan atau “shadow government” terpaksa menutup mulut dalam perkara-perkara penting melibatkan hal rakyat dan negara.

“Kenapa? Kerana mereka telah menandatangani MoU dengan kerajaan iaitu badan eksekutif. Jadi MoU yang dikemukakan oleh pihak kerajaan bersifat membelenggu kebebasan Ahli Parlimen pembangkang dan gabungannya,” katanya.

Jelasnya lagi, cadangan memperkenalkan MoU tersebut pada asasnya merupakan contoh pencerobohan kuasa eksekutif iaitu kerajaan yang berkuasa terhadap kebebasan Ahli Parlimen pembangkang yang merupakan pihak penting di dalam Parlimen.

Katanya, cadangan mengenakan syarat menandatangani MoU tersebut juga boleh dianggap pihak eksekutif iaitu Kerajaan Persekutuan cuba melanggar prinsip pengasingan kuasa kerana dengan sengaja cuba melemahkan blok pembangkang di Dewan Rakyat.

“Reformasi dikehendaki di Parlimen ialah kerajaan membawa satu Rang Undang-Undang (RUU) peruntukan kawasan Parlimen, bahawa setiap Parlimen di seluruh negara diberi hak secara automatic tanpa syarat, tanpa perlu menandatangani sebarang perjanjian atau MoU.

“Setiap Ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan atau pembangkang atau Bebas dijanjikan oleh undang-undang untuk mendapat peruntukan kawasan Parlimen masing-masing sama banyak dan sama adil.

“Undang-undang seperti inilah yang mesti diinstitusikan mulai sekarang bukannya MoU seperti yang dihebohkan kini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN