‘MoU peruntukan ahli Parlimen PN berat sebelah’

‘MoU peruntukan ahli Parlimen PN berat sebelah’

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) disifatkan berat sebelah kerana meletakkan syarat perlu dipenuhi wakil rakyat pembangkang dan bukannya diserta bersama blok kerajaan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, malah MoU itu membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk mempersoal teras-teras Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera. 

“Antara lain, ia akan menggugat dasar afirmatif yang bertujuan membela nasib dan kemajuan orang Melayu dan bumiputera dalam pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

“Daripada segi nilai-nilai kemanusiaan, MoU itu memberi ruang kepada fahaman hak asasi yang berlawanan dengan nilai-nilai agama dan budaya kita untuk berkembang dan diiktiraf secara tersurat mahupun tersirat. Contohnya, MOU menggunakan frasa ‘apa-apa faktor identiti yang lain’. 

“Daripada segi keadilan, MoU itu membuka peluang untuk pihak berkuasa mentafsir sesuatu perkara mengikut selera politiknya, seperti men-3R-kan (bangsa, agama dan raja) perkara yang bukan-3R,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua ahli Parlimen PN sebulat suara menolak MoU kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Kata beliau, pihaknya menolak MoU atas empat faktor antaranya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, MoU itu seolah-olah menokok tambah peraturan yang bukan-bukan tentang perlakuan ahli Parlimen, sedangkan undang-undang berkaitannya telah sedia ada. 

Katanya, ia sekali gus akan mengurangkan kebebasan bersuara yang telah sedia ada.

“Justeru, menerima MoU ini adalah langkah yang berbahaya. Bukan sahaja merosakkan identiti nasional, tetapi juga mengancam asas dan semangat demokrasi berparlimen dalam negara kita,” katanya.

Katanya, penolakan itu adalah amat penting demi memastikan kelangsungan identiti nasional bagi memastikan Malaysia maju mengikut acuan dan nilai kita sendiri berasaskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya