PETALING JAYA: Memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang perlu jelas dengan memasukan agenda reformasi sebagai hasil kesepakatan kedua-dua pihak agar Malaysia dapat bergerak ke hadapan dan menjadi negara contoh demokrasi di rantau ini.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam kenyataan berpandangan, MoU tersebut yang dirangka kerajaan tidak mempunyai agenda reformasi lebih jelas sebagai parameter penting untuk persefahaman kedua-dua pihak selain daripada pemberian peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada ahli Parlimen pembangkang.
Malah katanya, pembangkang juga tidak menyatakan cadangan mereka yang lebih konkrit selain hanya melahirkan kebimbangan mereka terhadap hak Melayu dan bumiputera.
Justeru itu, Bersih berpandangan bahawa MoU ini perlu ditambahbaik dengan memasukkan agenda reformasi untuk disepakati bersama antara kerajaan Persekutuan dan pembangkang.
“Bersih mencadangkan supaya butiran di dalam MoU yang termeterai antara kerajaan Persekutuan ketika era pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) dijadikan titik mula untuk dilanjutkan pelaksanaannya.
“Ini kerana kebanyakan pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan PH berada di dalam perbincangan dan pemeteraian MoU tersebut,” kata kenyataan hari ini.
Kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua ahli Parlimen PN sebulat suara menolak MoU kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Kata beliau, pihaknya menolak MoU atas empat faktor antaranya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.
Bagaimanapun menzahirkan sokongan kepada kerajaan tidak dinyatakan MoU pembangkang seperti didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sekali gus bertentangan dengan dakwaan Ketua WHIP PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mendakwa sokongan PN kepada kerajaan merupakan antara kandungan MoU tersebut.
Sebaliknya MoU yang didedahkan itu, PN perlu memastikan kerajaan Persekutuan bertanggungjawab selaras Perlembagaan dan menjadi semak seimbang serta alternatif politik.
Mengulas lanjut, Bersih mencadangkan beberapa parameter yang perlu dijadikan kandungan MoU antaranya peruntukan pembangunan kawasan harus digazetkan dalam undang-undang menerusi penggubalan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Selain itu, reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan memastikan ahli-ahli SPR selepas ini dilantik melalui Jawatankuasa Tetap Parlimen sebelum nama-nama calon tersebut dibawa ke Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik.
“Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat perlu dipinda bagi memasukkan tatacara dan mekanisme undi tidak percaya dan undi percaya yang lebih jelas dan bermakna dengan memperkenalkan Undi Percaya Pengabsahan dan Undi Tidak Percaya Berkonstruktif.
“Pengiktirafan Kabinet bayangan pembangkang dengan peruntukan yang mencukupi untuk membayangi menteri dengan akses maklumat yang berpatutan supaya mereka dapat berfungsi dengan berkesan sebagai pembangkang yang konstruktif dan kerajaan menunggu.
“Reformasi Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menghapuskan kawalan politik oleh Perdana Menteri. Kerajaan perlu menyegerakan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya agar tidak wujud lagi persepsi pendakwaan politik terpilih oleh kerajaan,” katanya.
Malah Bersih menambah, SPRM perlu direformasi agar pelantikan Pengerusi SPRM dapat dibuat dengan lebih telus dan melibatkan Parlimen.
Menurut Bersih, semua agenda penting untuk memastikan pelaksanaan reformasi berjalan dengan baik demi kebaikan rakyat dan menggesa agar kerajaan dan pembangkang bersikap dengan lebih profesional perbincangan kandungan perjanjian persefahaman.
Dalam perkembangan berkaitan, Bersih turut menegaskan kepentingan masyarakat sivil untuk dilibatkan sama dalam rundingan ahli Parlimen khususnya melibatkan isu kestabilan politik sebagai mewakili suara rakyat. – UTUSAN