MOTAC gantung lesen ejen pelancongan jika sah terlibat bawa pelancong masuk Filipina secara haram

MOTAC gantung lesen ejen pelancongan jika sah terlibat bawa pelancong masuk Filipina secara haram

Tangkap layar laporan PNA berkaitan penahanan individu termasuk warga Malaysia di kawasan perairan Sitangkai, Tawi-Tawi, Wilayah Selatan Filipina Ahad lalu. - GAMBAR FACEBOOK PNA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memulakan siasatan terhadap ejen pelancongan yang disyaki menguruskan atau membawa penumpang memasuki perairan Filipuna secara haram pada 1 September lalu.

MOTAC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil serius berkenaan penahanan warganegara China dan Malaysia kerana memasuki Perairan Tugayo Hunasan, Sitangkai, Tawi-Tawi, Filipina secara haram itu.

Menurut laporan awal, katanya, tangkapan oleh pihak berkuasa Kerajaan Filipina terdiri daripada lapan warga China dan tiga warga Malaysia yang ditahan kerana memasuki perairan Filipina secara tidak sah.

“Laporan awal menyatakan pelancong tersebut telah ke lautan Malaysia bagi tujuan memancing dan telah memasuki lautan Filipina akibat cuaca buruk.

Sekiranya siasatan MOTAC yang dijalankan mendapati sebarang kesalahan dilakukan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, MOTAC akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengantung, membatal lesen, mengkompaun atau mendakwa ejen pelancongan yang terbabit,” katanya hari ini.

Pada Ahad lalu, pihak berkuasa Filipina menahan warga Malaysia dan China itu selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.
Memetik laporan Philippines News Agency (PNA), Pesuruhjaya Biro Imigresen (BI) Filipina Norman Tansingco, melalui kenyataan berkata mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di Wilayah Selatan negara berkenaan.
Beliau berkata mereka yang tidak memiliki dokumen sah itu didapati memasuki wilayah Filipina dengan menaiki dua bot laju.

MOTAC menegaskan, peringatan turut diberikan kepada semua ejen pelancongan di seluruh negara agar memastikan semua pakej pelancongan dan pengaturan perjalanan mematuhi peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992.

Ini termasuk mematuhi semua peraturan di bawahnya dan undang-undang bertulis lain.

“Pematuhan kepada undang-undang adalah penting untuk mengekalkan integriti industri pelancongan serta memastikan keselamatan serta keabsahan aktiviti pelancongan di bawah kendalian setiap ejen pelancongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN