MOT pastikan syarikat penerbangan lain kekal frekuensi penerbangan

MOT pastikan syarikat penerbangan lain kekal frekuensi penerbangan

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mendapatkan kerjasama dari syarikat penerbangan lain
dalam memastikan frekuensi penerbangan mereka dapat terus dikekalkan atau pun ditambah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia terutamanya membabitkan sektor Sabah dan Sarawak.

“Untuk frekuensi penerbangan sudah tentu kita di peringkat Kementerian Pengangkutan akan cuba mendapatkan kerjasama daripada syarikat syarikat penerbangan lain.

“Ia supaya memastikan frekuensi mereka dapat sekurang-kurangnya dikekalkan ataupun ditambah kekerapannya terutamanya untuk sektor Sabah Sarawak,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Capsule Transit MAX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan Malaysia Aviation Group (MAG) yang akan mengurangkan rangkaian penerbangannya untuk sementara waktu bagi tempoh sekarang sehingga Disember 2024.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, langkah yang diambil oleh MAG merupakan satu keperluan untuk syarikat itu mengatasi isu-isu masalah teknikal yang berlaku.

“Seperti yang saya telah terangkan, ini adalah satu langkah drastik yang diambil oleh pihak MAG, bukan mereka suka-suka mengambil langkah ini (tetapi) oleh sebab banyak isu-isu teknikal yang melanda, mereka terpaksa mengambil langkah ini untuk mengurangkan penerbangan dalam beberapa bulan ini supaya mereka boleh memastikan pesawat-pesawat ini dihantar untuk penyelenggaraan dan sebagainya.

“Kita juga menjangkakan ada pesawat-pesawat baharu yang akan tiba dalam masa satu atau dua bulan lagi. Jadi ini hanya langkah sementara, bukannya langkah kekal, hanya sementara untuk beberapa bulan,” katanya.

Justeru, katanya, dalam tempoh beberapa bulan ini, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan dari syarikat penerbangan lain misalnya AirAsia, Batik Air dan sebagainya.

Dalam perkembangan berlainan, Anthony Loke memaklumkan bahawa pesawat Airbus A350 Malaysia Airlines masih beroperasi seperti biasa.

Jelas beliau, syarikat penerbangan itu tidak akan mengikut langkah seperti yang diambil Cathay Pacific dalam menghentikan pesawat A350 mereka.

“Buat masa ini, tidak. Saya telah bercakap dengan ketua pegawai eksekutif Malaysia Aviation Group pagi ini, mereka telah menyatakan kepada saya, mereka telah menyemak dengan Airbus (bahawa) varian enjin berbeza digunakan di sini dan walaupun kita juga ada A350, tetapi enjinnya berbeza daripada yang digunakan di Cathay Pacific.

“Mereka berhubung dengan Airbus, jadi sudah pasti jika ada keperluan, mereka akan mengambil tindakan lanjut tetapi setakat ini mereka boleh beroperasi seperti biasa,” ujarnya.

Terdahulu, Reuters melaporkan Cathay Pacific Airways memulakan pemeriksaan ke atas semua pesawat Airbus A350, susulan kegagalan komponen enjin ketika penerbangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN