MOT lancar Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia

MOT lancar Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia

ANTHONY Loke pada majlis Peluncuran Pelan Hala Tuju Penyahkarbon Sektor Penerbangan Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini melancarkan Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB) untuk mencapai sasaran karbon sifar bersih seawal 2050 bagi sektor penerbangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia berdasarkan empat kategori langkah mitigasi yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) melibatkan teknologi pesawat, penambahbaikan operasi, penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) dan mengimbangi karbon.

“Antara sektor utama yang menyumbang kepada pelepasan karbon adalah pengangkutan udara dan usaha untuk mengurangkan pelepasan ini mesti lah bermula sekarang walaupun sasarannya menjelang tahun 2050,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Konsultatif Penerbangan Negara dan pelancaran pelan hala tuju itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, MOT akan bersama dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam membangunkan polisi dan inisiatif berkaitan.

Selain itu, katanya, pembangunan MADB juga merupakan komitmen Malaysia dalam menyokong inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak ICAO untuk menangani isu perubahan iklim global.

“Kita juga memerlukan kerjasama daripada syarikat penerbangan yang mesti berusaha untuk merendahkan pelepasan karbon dengan beberapa cara iaitu dengan melabur dalam teknologi dan menggunakan pesawat lebih moden.

“Ini kerana pesawat baharu sudah tentu kecekapan bahan bakar itu lebih baik,” ujarnya.

Ditanya mengenai penggunaan SAF dalam kalangan syarikat penerbangan tempatan, beliau menjelaskan, buat masa ini Malaysia masih tidak mewajibkan penggunaan bahan api tersebut.

Katanya, ini kerana antara cabaran terbesar yang dihadapi adalah dari segi harga berikutan harga bahan api tersebut adalah tiga kali ganda lebih tinggi, selain pengeluaran yang masih lagi agak terhad.

“Tetapi, SAF ini akan dikemudikan oleh Petronas dan Petronas memang sudah ada perancangan dan sedang merangka strategi bagaimana untuk menghasilkan SAF ini, dan saya difahamkan pengeluaran mereka boleh bermula seawal 2028,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya