Monsun Timur Laut: Air tujuh empangan Selangor dilepas berperingkat - Utusan Malaysia

Monsun Timur Laut: Air tujuh empangan Selangor dilepas berperingkat

Lepas air empangan
EMPANGAN Sungai Tinggi di Hulu Selangor, Selangor. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melaksanakan pengurangan kapasiti simpanan air empangan melalui pelepasan secara optimum bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut mulai November depan.

Pelepasan air di kesemua tujuh empangan di negeri ini dilakukan pada 16 Ogos lalu hingga hujung bulan ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertanggungjawab melepaskan air empangan bagi pengurangan kapasiti simpanan air pada tahap 90 peratus kecuali bagi Empangan Klang Gates ke tahap 85 peratus.

“Tindakan itu merupakan inisiatif menyediakan ruang mencukupi bagi kesemua empangan sebagai kesiapsiagaan jika menerima kadar intensiti hujan tinggi, sekali gus mengelak limpahan air empangan yang berpotensi menyebabkan banjir di bahagian hilir daripada berlaku,” katanya, hari ini.

Jelasnya, kawalan pelepasan air empangan akan dikaji semula berdasarkan kepada perubahan cuaca yang dijangkakan bermula 1 Oktober depan.

“Ia tidak melebihi simpanan 95 peratus bagi semua empangan kecuali Empangan Klang Gates pada tahap kapasiti 90 peratus sebelum 15 Disember depan.

“LUAS mendapati berlaku peningkatan empat peratus kapasiti simpanan air empangan itu berikutan hujan lebat pada 12 Ogos lalu dengan jumlah 75 milimeter (mm) di kawasan tadahan. Namun, tiada berlaku sebarang limpahan setakat ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Izham memaklumkan pelepasan air empangan dilaksanakan secara berperingkat dan dikawal rapi oleh pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kita mengambil kira tren paras air sungai semasa dan ramalan cuaca dalam tempoh tujuh hari ke hadapan oleh Jabatan Meteorologi.

“Justeru, tiada pelepasan akan dibuat jika paras air sungai menunjukkan tren meningkat dan hujan lebat di kawasan hilir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya