Mohon China lanjut pengecualian visa dibincang esok - Saifuddin

Mohon China lanjut pengecualian visa dibincang esok – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Cadangan melanjutkan tempoh pengecualian visa bagi rakyat Malaysia di China akan dibincangkan ketika  pertemuan antara kedua-dua pemimpin negara esok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pertemuan tersebut membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong pada Isnin (9 September).

“Sebelum ini, Malaysia meminta China turut melanjutkan tempoh tinggal tanpa visa bagi rakyat negara ini  yang melawat republik itu dari 15 hari kepada 30 hari.

“Kami akan bangkitkan perkara ini semula pada mesyuarat itu,” katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu.

Saifuddin dalam masa yang sama turut berkata, Malaysia sebelum ini telah bersetuju untuk melanjutkan kemudahan pengecualian visa sehingga akhir 2026, sekali gus berharap China akan turut mempertimbangkan perkara itu.

“Walaupun tiada keputusan dibuat, saya dimaklumkan perbincangan di peringkat pegawai menunjukkan reaksi positif,” katanya.

Semasa lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia pada Jun lalu, China telah bersetuju melanjutkan kemudahan pengecualian visa untuk warganegara Malaysia sehingga akhir 2025, manakala Malaysia akan melanjutkan pengecualian visa untuk warga China sehingga akhir 2026.

Malaysia memberikan pengecualian visa 30 hari untuk warga China dan India yang melawat negara ini  melalui Pelan Liberalisasi Visa, yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN