Mohd. Na'im bertemu MCCBCHST esok, bincang isu penempatan pegawai Jakim

Mohd. Na’im bertemu MCCBCHST esok, bincang isu penempatan pegawai Jakim

MOHD NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar akan bertemu dengan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST), esok.

Ia berhubung bantahan majlis itu berkaitan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di jabatan kerajaan.

Menurut Kementerian Perpaduan Negara, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harmoni (JK HARMONI) yang dikendalikan bersama kementerian ini dan Jakim telah menubuhkan tiga biro (sub jawatankuasa) bertujuan memastikan gerak kerja lebih efektif dalam melaksanakan inisiatif keharmonian antara agama di negara ini.

Katanya, salah satu biro adalah Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi yang memberi tumpuan dalam usaha merungkai isu-isu dan konflik berkaitan agama yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang berpotensi mengancam perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia.

“Biro ini menjadikan mediasi sebagai kaedah penyelesaian alternatif bagi tujuan pendamaian atau menyelesaikan apa-apa pertikaian dan perselisihan dalam kalangan anggota masyarakat yang berbilang agama dan bangsa.

“Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang meminta wakil-wakil agama memanfaatkan ketiga-tiga biro di bawah JK HARMONI dalam mencari solusi dan penyelesaian kepada isu-isu berhubung keharmonian antara penganut agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas kementerian itu, konsep ‘Faham, Hormat, dan Terima’ perlu dihayati oleh semua rakyat bagi merapatkan perbezaan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

Katanya, konsep ini sebagai prinsip asas bukan sahaja bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, bahkan dapat menangani isu-isu berkaitan keharmonian antara penganut agama.

“(Ini termasuk) meningkatkan sifat hormat menghormati, dan mengukuhkan pemahaman.

“Kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sentiasa bersedia menyediakan perkhidmatan Mediator Komuniti dalam mengurus isu-isu perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kementerian melantik 562 orang Mediator Komuniti sebagai pendamai masyarakat yang dikenali dalam membendung dan mengurus isu-isu perpaduan atau konflik sosial di peringkat komuniti.

Jelasnya, walaupun wujud perbezaan daripada kepelbagaian yang menjadi cabaran dalam mengukuhkan perpaduan, namun jika ia diuruskan dengan baik, kepelbagaian ini menjadi kekuatan negara dalam membentuk Malaysia Madani yang harmoni dan bersatu-padu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN