Mohd. Na'im adakan pertemuan dengan MCCBCHST

Mohd. Na’im adakan pertemuan dengan MCCBCHST

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengadakan pertemuan engan Majlis Perundingan Malaysia Bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh Dan Taoisme (MCCBCHST) bagi membincangkan isu penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) di agensi kerajaan yang dibantah oleh pertubuhan itu sebelum ini.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pertemuan itu diadakan bagi melaksanakan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta perbincangan diadakan dengan MCCBCHST bagi memberi pencerahan terhadap isu tersebut.

Katanya, seramai 10 perwakilan MCCBCHST yang hadir diberi taklimat latar belakang, fungsi dan peranan Pegawai Kader Hal Ehwal Islam Jakim di agensi kerajaan yang sudah pun bermula sejak tahun 1980-an lagi.

“Penempatan pegawai Jakim adalah berdasarkan perjawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui permohonan daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan untuk melaksanakan fungsi Hal Ehwal Islam. 

“Fungsi Kader Hal Ehwal Islam Jakim boleh dirumuskan meliputi aspek Tadbir Urus, Pembangunan Insan, Pemulihan, Keselamatan dan Pencegahan berasaskan keperluan di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang termasuk pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Perpaduan Negara.

Mohd. Na’im berkata, perwakilan yang menghadiri perjumpaan juga telah menerima dengan baik penjelasan tentang peranan Kader Hal Ehwal Islam Jakim.

“Peranan Kader Hal Ehwal Islam Jakim amat berkesan dan penting terutama dalam memantapkan kefahaman dan meningkatkan motivasi kerja berasaskan penghayatan terhadap nilai-nilai murni dalam perkhidmatan demi mencapai produktiviti organisasi ke arah merealisasikan tadbir urus terbaik,” katanya.

Pada pertemuan itu juga, beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memberi saranan agar Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi yang ditubuhkan dalam Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) dapat diaktifkan bagi mengelakkan sebarang polemik tentang sesuatu isu. 

“Semua isu yang berbangkit sewajarkan dibincangkan secara harmoni dalam Jawatankuasa HARMONI dan ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyeru serta mengajak rakyat Malaysia berbilang agama dan kaum agar saling menghargai realiti kepelbagaian dalam negara.

Pada masa sama, kita harus bersama-sama berusaha memelihara keharmonian demi merealisasikan cita-cita membangun Malaysia MADANI yang maju, progresif dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN