MMA mahu siasatan telus kematian pakar patologi didakwa akibat buli

MMA mahu siasatan telus kematian pakar patologi didakwa akibat buli

MMA - FACEBOOK RASMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengharapkan tindak balas pantas dan siasatan telus pihak berkuasa berhubung kematian pakar patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah, yang didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli.

Presidennya, Datuk Dr. K. Kalwinder Singh berkata, komuniti perubatan akan memantau keadaan itu dengan teliti dan pihak berkuasa harus memberi maklum balas yang sewajarnya.

Sehubungan itu, menurut beliau, MMA menggesa KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk menyegerakan tindakan secara menyeluruh dalam siasatan itu.

“Kami kekal teguh dan komitmed untuk meningkatkan kesihatan mental, kebajikan dan keadaan kerja semua penjagaan kesihatan profesional, menyokong dan memastikan persekitaran kerja yang selamat.

“Pekerja penjagaan kesihatan yang mengalami cabaran digalakkan untuk menghubungi MMA melalui platform Helpdoc di [email protected] untuk mendapatkan sokongan.

“Kami juga dengan penuh hormat meminta orang ramai supaya tidak melakukan spekulasi bagi membolehkan proses yang betul berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, KKM menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kematian pakar patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr. Tay Tien Yaa yang didakwa bunuh diri selepas menjadi mangsa buli.

Akhbar tempatan malam tadi melaporkan, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah berhubung kematian Tien Yaa, yang didakwa membunuh diri kerana menjadi mangsa buli.

Menurut makluman kematian dikeluarkan oleh Hospital Lahad Datu, Tien Yaa meninggal dunia pada 29 Ogos lalu.

Adik mangsa yang menggunakan nama YS Tay di Facebook semalam mendakwa Tien Yaa yang melapor diri di Hospital Lahad Datu pada Februari lalu meninggal dunia akibat tekanan dan menjadi mangsa buli.

Dia berkata, kakaknya yang baharu berkahwin dijanjikan oleh pihak pengurusan akan dipindahkan kembali ke Semenanjung untuk bersama suaminya selepas dua tahun perkhidmatan.

Kematian Tien Yaa berlaku di tengah-tengah aduan mengenai keadaan kerja yang teruk dan perbuatan buli terhadap kakitangan kesihatan yang berlaku di hospital kerajaan di Sabah oleh pegawai yang lebih senior.

Dilaporkan, pegawai perubatan mengalami penderaan lisan dan fizikal di hospital, termasuk cemuhan, cercaan perkauman dan ancaman dengan objek tajam kerana tidak mengikut arahan.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata, isu buli di sektor kesihatan awam terus berlarutan dan semakin buruk walaupun satu pasukan petugas ditubuhkan pada 2022 untuk menyiasat dan menangani masalah itu.

Sementara itu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa KKM melaksana perubahan segera termasuk mewujudkan sistem laporan yang telus, bebas dan boleh diakses semua kakitangan penjagaan kesihatan dalam aspek insiden buli di tempat kerja.

Katanya, kementerian perlu melaksana langkah konkrit dengan menguatkuasa dasar anti buli selain memastikan mereka yang terlibat dalam gangguan di tempat kerja termasuk buli supaya bertanggungjawab tanpa mengira kedudukan.

Katanya, tindakan pantas itu penting bagi memastikan tiada lagi berlakunya kehilangan nyawa akibat perbuatan buli di tempat kerja.

“Selain pembaharuan dasar, mesti ada tumpuan yang lebih kuat terhadap kesihatan mental pekerja penjagaan kesihatan.

“Perkhidmatan sokongan kesihatan mental yang boleh diakses harus disediakan kepada semua profesional penjagaan kesihatan, terutamanya mereka yang bekerja dalam persekitaran tekanan tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN