KONDUKTOR berpengalaman, Luqman Aziz tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju apabila ditawarkan untuk meneraju konsert Sounds of Borneo yang dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas, baru-baru ini.
Bagi Luqman, tugas yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai mengetuai konsert tersebut adalah penghormatan dan peluang satu dalam sejuta.
Apatah lagi, bekerjasama dengan tiga ratu muzik Borneo, Marsha Milan, Velvet Aduk dan Alena Murang dianggapnya sebagai kesempatan yang tidak wajar dilepaskan.
Luqman cukup mengagumi keunikan muzik dan bakat dari tanah Sabah dan Sarawak. Disebabkan itu, dia terpanggil untuk menjayakan misi untuk mengangkat muzik dari negeri-negeri itu, di pentas berprestij bersama tiga penyanyi itu, disamping 60 pemuzik yang mengiringi persembahan sempena konsert berkenaan.
“Setiap tahun, saya berkesempatan ke Borneo untuk menjurikan lagu bagi carta muzik di sana. Sebenarnya, terlalu banyak pemuzik berbakat dan ada banyak lagu yang bagus dari sana.
“Lagu Sabah dan Sarawak menerima sambutan yang memberangsangkan sampai ke Indonesia. Muzik video juga ditonton jutaan orang di Youtube.
“Perkara ini menakjubkan saya. Sabah dan Sarawak miliki banyak karya dan bakat yang wajar diketengahkan. Sebab itu saya terus bersetuju apabila ditawarkan untuk meneraju konsert ini,” katanya yang ditemui di DFP, baru-baru ini.
Misi Sounds of Borneo boleh dikatakan berjaya. Kira-kira 900 pengunjung pulang dengan senyuman selepas disajikan dengan keunikan lagu yang dipersembahkan Marsha, Velvet dan Alena.
Luqman pada masa yang sama memuji inisiatif Malaysian Philharmonic Orchestra dalam mengetengahkan muzik-muzik Sabah Sarawak di pentas DFP.
Baginya, ia satu usaha murni untuk mengangkat muzik tempatan ke peringkat lebih tinggi.
“Saya kenal ramai pemuzik dan penyanyi yang sangat berbakat dari sana.
“Jadi, kerjasama dengan Marsha, Velvet dan Alena berjalan dengan mudah. Sejak hari pertama kami berlatih, segalanya lancar.
“Tetapi, cabaran tetap ada. Lebih-lebih lagi dalam mengimbangi usaha untuk mengekalkan keaslian muzik tradisional dengan tugas untuk menyerlahkannya dalam konsep muzik orkestra.
“Itu tugas yang cukup berat untuk seorang penggubah lagu. Memang mencabar. Tapi berhasil,” kongsinya.
SATU PENGHORMATAN
Jelas riak gembira bersulam perasaan sebak terpancar pada wajah Marsha, Velvet dan Alena sebaik sahaja konsert melabuhkan tirainya.
Segala usaha dan penat lelah, terbayar. Misi ketiga-tiga mereka untuk mengangkat muzik tradisi tanah kelahiran mereka, berjaya.
Tiga diva Borneo ini akhirnya mampu tersenyum bangga.
“Susah payah kami akhirnya terbayar. Lagu-lagu yang kami hasilkan dan nyanyikan akhirnya diperdengarkan kepada audiens yang lebih ramai.
“Kami tidak sangka ramai yang hargai dan berminat untuk kenal muzik dan lagu tradisi Sabah dan Sarawak. Terfikir juga bilalah peluang seperti ini akan datang lagi,” kata Velvet.
Bagi Alena, konsert tersebut membawa impak yang besar sepanjang perjalanan kerjayanya yang memartabatkan muzik tradisional Sarawak, khususnya alat muzik Sape yang masih asing dalam kalangan masyarakat di semenanjung Malaysia.
“Bertahun-tahun saya cuba membawa muzik Sape keluar daripada kepompong pelancongan. Saya gembira, kerana saya dapat memperkenalkan muzik itu kepada audiens yang lebih ramai,” ujarnya.
Marsha tidak mampu menahan sebak. Konsert itu baginya satu penghargaan dan pengiktirafan bagi kerja keras yang mereka usahakan dalam memperkenalkan muzik Sabah di arus perdana.
“Memang sebak, sebelum ini kami harungi susah payah, membawa muzik tradisi tanah kelahiran kami. Tempoh yang panjang untuk kami.
“Menerusi konsert ini, kami raikan hasil susah payah itu. Dan paling menggembirakan, bukan sahaja orang tempatan, malah luar negara membeli tiket untuk menyaksikan persembahan kami,” katanya.