PETALING JAYA: Pelakon, Mia Nasir berkongsi detik cemas dirinya diserang seekor anjing jenis rottweiler sewaktu menjalani penggambaran sebuah drama, baru-baru ini.
Mia atau nama sebenarnya Nur Farah Md Nasir, 33, bagaimanapun bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius dan pihak produksi cepat bertindak.
“Belakang saya ada cermin. Nasib saya tak langgar dan pecahkan, Allah lindung saya. Saya juga bernasib baik kerana seluar yang dipakai menghalang anjing itu menggigit terus ke bahagian kulit.
“Badan saya tak sakit, cuma impak di bahagian paha sahaja. Tiada luka dan berdarah. Apa yang berlaku ini saya tak salahkan siapa. Tiada siapa yang sangka benda seperti itu akan terjadi.
“Nasib saya memang baik walaupun ruang dekat situ macam tiada, masih selamat. Anjing itu pun digunakan untuk tujuan lakonan,” katanya.
Sementara itu, Mia turut berkongsi momen tersebut menerusi sebuah hantaran video yang memaparkan babak dia bersama pelakon, Mimi Lana mahu memasuki sebuah rumah sebelum serangan berlaku.
Menerusi sebuah siaran langsung di TikTok, Mia mengakui dirinya tidak trauma kerana anjing yang digunakan untuk tujuan berlakon tersebut hanya menggigit pada bahagian betis seluarnya.
Mia juga sempat berkongsi tips supaya tidak membuatkan anjing seperti itu berasa terancam.
“Kalau tanya trauma ataupun tidak, saya akan cakap tidak. Sebab dia tak gigit saya. Kalau gigit mungkin saya trauma.
“Untuk pengetahuan kalian, kita jangan bagi interaksi mata dengan anjing sebegitu. Mereka akan rasa terancam,” jelasnya. -UTUSAN