METMalaysia keluar amaran puting beliung, kepala air, tanah runtuh

METMalaysia keluar amaran puting beliung, kepala air, tanah runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Banjir kilat, tanah runtuh, kepala air, selain puting beliung antara kesan cuaca yang diramal boleh berlaku sepanjang fasa peralihan monsun bermula hari ini.

Jabatan Meteorologi (METMalaysia) memaklumkan, kesan cuaca susulan peralihan antara Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut itu dijangka berlarutan sehingga awal November.

METMalaysia memaklumkan, tiupan angin lemah dari pelbagai arah boleh berlaku sepanjang tempoh peralihan itu.

“Meskipun corak cuaca bagi fasa peralihan ini menunjukkan langit cerah pada waktu pagi, keadaan pada sebelah petang hingga awal malam boleh menyaksikan berlakunya ribut petir dan hujan lebat disertai angin kencang secara menyeluruh dalam tempoh singkat.

“Kejadian puting beliung dan hujan batu turut berpotensi berlaku pada tempoh peralihan ini.

“Kesan cuaca peralihan monsun ini termasuk kejadian banjir kilat, tanah runtuh, kepala air, pokok tumbang, panahan kilat serta kerosakan struktur tidak kukuh,” katanya melalui satu hantaran di laman X.  

METMalaysia menasihatkan orang ramai lebih berwaspada ketika tempoh itu dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan itu.

“Orang ramai juga boleh menghubungi hotline jabatan di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN