Mesti ‘revamp’ dasar pendidikan - TPM - Utusan Malaysia

Mesti ‘revamp’ dasar pendidikan – TPM

Dasar pendidikan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi Darjah 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 3 di sekolah menengah digesa disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak tahu membaca, menulis dan mengira.

Peperiksaan tersebut dianggap sebagai pengukur kepada tahap peningkatan pendidikan pelajar-pelajar sebelum mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memilih bidang pengajian di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini yang menyedari punca kepada 10,177 pelajar tidak menduduki SPM tahun lalu.

“Saya mengadakan perbincangan dengan Zambry (Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir) dan KPM (mengenal pasti punca) kebanyakannya tidak boleh membaca, menulis dan mengira.

“Wajib dasar pendidikan yang tidak ada peperiksaan Darjah 6 dan Tingkatan 3, mesti ‘di-revamp’ (dirombak),” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung MIC Ke-78, hari ini.

Jelasnya, dasar pendidikan harus kekal dan tidak berubah walaupun berlaku pertukaran kerajaan pada setiap kali pilihan raya umum (PRU).

“Jangan jadikan anak murid sebagai bahan uji kaji dan mereka jadi mangsa, biar kerajaan bertukar, tetapi dasar kerajaan mestilah dibuat supaya anak kita tidak menjadi mangsa,” tegasnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia seramai 122,062 murid Tahun Satu sesi 2024/2025 dipilih bagi mengikuti Program Intervensi (literasi dan numerasi) bermula bulan lalu bagi membantu mereka menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Jumlah murid yang terpilih itu mewakili 27.2 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 62,928 murid dikesan belum menguasai literasi dan numerasi; 45,465 murid belum menguasai literasi manakala 13,669 murid pula belum menguasai numerasi.

Lantaran itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan keperluan mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan 2 setaraf SPM, Tahap 3, 4 dan 5 setaraf diploma serta Tahap 6, 7 dan 8 setaraf ijazah pertama.

“Ertinya walaupun tanpa SPM lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mendapat SKM 3,4 dan 5 layak masuk ke universiti tanpa Sijil SPM,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya