‘Mereka seperti lanun merampas rumah kami’- Penduduk

‘Mereka seperti lanun merampas rumah kami’- Penduduk

OSMAN Omar Khan menunjukkan notis pengosongan rumah yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan semasa sidang akhbar, di Pejabat UMNO Putatan, Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Sembulan Tengah merayu kepada pihak kerajaan agar menarik semula notis pengosongan dalam tempoh 14 hari yang dikeluarkan pada Khamis lalu.

Dalam notis yang dikeluarkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu, penduduk kampung diarahkan untuk mengosongkan rumah masing-masing dalam tempoh 14 hari kerana ia berada di kawasan Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan.

Pengerusi Pertubuhan Penduduk dan Kebajikan Kampung Sembulan, Osman Omar Khan berkata, pengeluaran notis tersebut jelas menunjukkan kerajaan seolah-olah tidak prihatin terhadap masalah rakyat di kampung berkenaan.

Beliau berkata, tiada sebarang makluman diberikan sebelum ini, tiba-tiba notis pengosongan dikeluarkan tanpa ada sebarang sesi dialog atau makluman diberi kepada penduduk.

Katanya, terdapat lebih 200 rumah di perkampungan atas air tersebut dan ia dibina sejak berpuluh tahun lalu. Ini adalah perkampungan dan bukannya perumahan setinggan seperti di kawasan lain.

“Kami tidak pasti apa pembangunan yang ingin dibina di kawasan ini. Apa yang kami tahu, mereka seperti lanun merampas tempat orang dan kami hanya diberikan tempoh 14 hari untuk mengosongkan kawasan berkenaan.

“Ini adalah notis pertama untuk pengosongan rumah yang kami terima. Sebelum ini, hanya notis tidak membenarkan penyambungan tanah,” katanya semasa sidang akhbar, di sini semalam.

Menurutnya, mereka amat terkejut apabila menerima ugutan sekiranya menghalang perobohan rumah di kawasan berkenaan perlu membayar denda RM100,000 dan boleh dipenjara selama lima tahun.

Kata beliau, Ketua Menteri harus memperhalusi perkara ini dengan mendengar dan berfikir secara baik masalah yang dihadapi rakyat.

Osman berkata, penduduk di kawasan itu kebanyakan golongan B40, jika dihalau tanpa disediakan penempatan, mereka akan merempat di negeri sendiri.

Jadi, mereka meminta Ketua Menteri agar mempertimbangkan untuk menarik semula notis pengosongan tersebut dan mencari langkah penyelesaian menang-menang dengan pemilik tanah.

Beliau berharap pertemuan bersama JTU, DBKK dan wakil pimpinan kerajaan negeri hari ini akan memberi khabar gembira untuk lebih 1,000 penduduk di Kampung Sembulan Tengah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN