MEMANDANGKAN saya tidak pernah membaca karya Ika Natassa, jadi saya tidak akan membandingkan filem ini dengan buku yang diadaptasi. Ulasan ini akan hanya membahaskan pandangan saya menonton The Architecture of Love (TAOF) yang menjadi antara filem box office ketika tayangannya di Indonesia.
10 minit pertama filem ini dibuka, saya sudah pun mengeluh melihat adegan curang yang entah sudah berapa kali saya tonton dalam cerita yang sedia ada. Kemudian saya memujuk diri, meyakini bahawa karya yang baik tidak semestinya perlu selalu ‘keluar dari kotak’. Boleh sahaja isunya sama tapi pembawaan ceritanya cermat dan mengena.
Kesedapan cerita ini mula perlahan-lahan terasa setelah Raia, seorang penulis buku laris manis terbang ke New York. Selain mencari ilham, dia juga mahu mengubati hatinya yang hancur selepas suaminya, Alam, berbogel dengan seorang wanita di tandas rumah mereka.
Di New York, juga di depan tandas, dia bertemu River, Nicholas Saputra yang juga sedang bergelut menerima kematian isteri di malam ulangtahun kelahirannya. TAOF adalah sebuah cerita yang membawa gagasan sederhana, bagaimana dua jiwa yang terluka kembali menjalin cinta.
Saya melihat TAOF seperti menggunakan formula yang sama dalam trilogi kisah romansa terkenal ‘Before Sunset’, dalam sebuah kembara bertemu pemuda yang tidak dikenali dan jatuh cinta. Kerana begitulah, kadang hanya di tempat asing kita baru mempunyai keberanian melupakan.
Saya harus memuji lakonan Putri Marino, dan TAOF kerana berjaya menunjukkan keserasian kuatnya dengan Nicholas Saputra yang selalu diskeptikkan kononnya hanya cocok berlakon dengan Dian Sastrowardoyo untuk filem romantis.
Namun begitu, saya harus jujur kerana merasakan penggambaran yang dilakukan di New York sebenarnya terasa gesa-gesa dan tidaklah terlalu memberi kesan. Mungkin kerana pengarah banyak bermain dengan syot paras bahu, secara dekat, dalam banyak momen penting antara Raia dan River.
Sedangkan untuk semua filem romantis, keserasian adalah perkara yang sangat mustahak. Semua ini boleh kita perhatikan sekiranya kamera mengambil syot jauh, menampakkan kedua-dua pelakon bersama secara kerap di dalam bingkai. Dari situ, penonton akan lebih dalam menilai bagaimana Raia menunggu cinta, memandang River dengan mata yang bercahaya.
Momen kecil tapi penting begitulah yang tidak dibawa keluar membuatkan TAOF seperti ada yang kurang. Sesetengah orang mungkin menganggap dialog yang dilontarkan menggelikan, tapi saya biasa-biasa sahaja. Tidak ada yang kedengaran terlalu aneh kerana ia dituturkan pada adegan yang tepat kecuali beberapa fakta tempat menarik yang seperti disalin daripada wikipedia.
Apapun, saya faham bahawa nama Nicholas Saputra adalah nama yang besar. Mungkin kebanyakan penonton mahu menonton filem ini kerana pelakonnya apalagi dalam sebuah naskhah romantis seperti ini. Tiada yang salah dengan itu, kerana dia Nicholas Saputra.
Tapi jika ditanya adakah TAOF sebuah cerita cinta yang bagus, saya berpendapat okay-okay sahaja. Tapi adakah saya akan menonton cerita ini jika pelakonnya orang berbeza? Mungkin tidak.