Mendiang Apot diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negeri - Utusan Malaysia

Mendiang Apot diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negeri

ISTIADAT Pengebumian Negeri jasad mendiang Apot Saad yang disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Batu berangkai di Kampar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Wira negara, mendiang bekas anggota Senoi Praaq, Sarjan Mejar (Bersara) Apot Saad yang meninggal dunia kerana serangan kuman di bahagian jantung selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli di Kampung Batu Berangkai  di sini kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

Perjalanan akhir mendiang yang pernah menerima Pingat Gagah Berani atas jasa dan baktinya kepada negara itu disaksikan kira-kira 250 orang termasuk Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat dan Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud.

Terdahulu, mendiang Apot diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negeri dan berakhir dengan penyerahan bendera Jalur Gemilang oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariat kepada balu mendiang, Krig Sudin, 77.

Krig tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja menerima bendera tersebut.

Mendiang Apot pernah menerima Pingat Gagah Berani atas jasa dan baktinya kepada negara menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Kampar di sini kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi kerana jangkitan kuman di bahagian jantung dan sesak nafas.

Apot dimasukkan ke hospital itu sejak 1 September lalu kerana uzur selain serangan strok.

Mendiang Apot merupakan penerima Pingat Gagah Berani (PGB) dalam kalangan Orang Asli yang banyak berjasa kepada negara dalam operasi menentang pengganas komunis termasuk menembak mati lima anggota komunis.

Beliau terkenal sebagai tracker atau penjejak Orang Asli serta digeruni oleh komunis kerana kebolehannya menjejak serta menghidu setiap pergerakan musuh di dalam hutan belantara, menyertai pasukan Senoi Praaq pada 1968 sebelum diserapkan ke dalam 69 Komando (VAT 69). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN