Memerang serang manusia pertama kali berlaku di Sabah - Utusan Malaysia

Memerang serang manusia pertama kali berlaku di Sabah

SEORANG wanita cedera diserang sekumpulan memerang ketika beriadah di Taman Perdana Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah, hari ini - IHSAN MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Insiden orang awam cedera akibat diserang memerang ketika beriadah di Taman Perdana Tanjung Aru adalah kes pertama seumpamanya berlaku di Sabah.

Serangan sekumpulan memerang itu mengakibatkan seorang wanita cedera di seluruh anggota badan dan dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Roland Oliver Niun berkata, pihaknya menerima laporan dan mengarahkan anggotanya menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Menurut beliau, pihaknya akan cuba menangkap dan memindahkan kumpulan memerang tersebut sekiranya ia kembali memasuki kawasan taman awam berkenaan.

“Penemuan memerang bukanlah sesuatu yang luar biasa di Sabah tetapi ini kejadian pertama kali serangan terhadap manusia.

“Kumpulan memerang itu terdiri daripada enam ekor dewasa dan dua anaknya. Haiwan ini sering dilihat memburu ikan di kawasan tasik di taman awam berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan siasatan awal, didapati kumpulan memerang itu masuk ke kawasan taman melalui  pintu yang rosak.

Roland memberitahu, kumpulan memerang itu sering dilihat memasuki taman pada waktu pagi dan petang, namun  tidak tinggal di situ. 

“Memerang biasanya tinggal di kawasan paya, saliran dan parit berair,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak memberi makan atau mendekati kumpulan haiwan tersebut. 

Jelasnya, jika terserempak, mereka dinasihati cuba mengelak dan segera hubungi pihak berkuasa sekiranya perlu.

Kata beliau, kadangkala orang awam beranggapan haiwan berkenaan bersifat jinak, namun memerang akan bertindak agresif apabila diprovokasi.

Dalam kes ini, kumpulan memerang itu adalah sebuah keluarga dan mungkin ia cuba mempertahankan anak-anaknya daripada ancaman manusia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN