SIAPA sangka di sebalik kesibukan menjadi seorang anak seni, penyanyi ini mempunyai satu hobi yang agak lain daripada selebriti-selebriti yang pernah ditemui oleh Pancaindera.
Walaupun memerlukan kudrat, masa dan wang ringgit namun itu tidak menjadi penghalang kepada penyanyi ini untuk terus minat melemparkan jorannya.
Aiman Tino atau nama sebenarnya, Mohammad Aiman Yusri menjadikan memancing sebagai hobi kerana bagi dia memancing itu bukan hanya ‘melontarkan umpan kepada ikan sahaja’ tetapi membawa erti lain kepada kehidupannya.
“Sewaktu menunggu ikan untuk makan umpan, secara tidak langsung memberikan masa kepada saya untuk memikirkan berkenaan masa depan dan perancangan untuk saya dan keluarga.
“Tidak hanya itu, memancing juga melatih saya untuk menjadi seorang yang penyabar kerana menunggu ikan untuk menangkap umpan memerlukan kesabaran yang tinggi. Itu antara perkara yang mengajar saya sebagai seorang pemancing,” katanya yang berusia 26 tahun.
Selain itu, menurut penyanyi Ku Rela Dibenci itu, antara sebab lain dia memilih memancing sebagai hobi untuk memenuhi masa lapang adalah kerana dapat bersama dengan alam.
“Selain memancing, saya juga dapat menikmati keindahan dan suasana alam. Di kawasan kolam selalunya akan ada banyak pokok dan burung, jadi saya dapat juga tenangkan fikiran.
“Banyak kawasan memancing yang saya suka untuk pergi seperti di Ulu Bendul, Kuala Selangor dan Sungai Nibong kerana persekitaran yang sangat cantik dan nyaman.
“Selalunya kawasan kegemaran saya untuk memancing adalah jauh dari kawasan bandar kerana baru dapat ‘feeling’ ketika memancing,” katanya.
Bukanlah pemancing tanpa ikan kegemaran yang mereka suka untuk tangkap. Bagi Aiman terdapat beberapa ikan yang menjadi kegemarannya untuk menangkap setiap kali pergi ke kolam.
“Jika memancing di kolam air masin, antara ikan yang menjadi sasaran saya adalah Siakap, Jenahak, Gerepoh, Siakap Merah dan juga Kerapu.
“Tetapi kegemaran saya apabila pergi memancing adalah ikan Kerapu dan Gerepoh kerana ini antara ikan yang sukar untuk dapat.
“Antara sebab kenapa saya menyukai ikan ini kerana isinya yang lebih sedap berbanding ikan lain,” kongsinya.
Dilayangkan persoalan berkaitan cabaran menjadi pemancing, Aiman berkongsi bahawa menjadi pemancing bukan sahaja memberi cabaran kepada mental dan juga fizikal.
“Setiap tempat pancing memerlukan peralatan yang berbeza seperti di kolam, sungai dan laut. Lokasi yang berbeza ini juga akan memberikan cabaran dan menguji kesabaran pemancing.
“Bagaimanapun, kesabaran tetap menjadi keutamaan kepada pemancing seperti saya terutamanya ketika memancing di laut. Lokasi ini merupakan kawasan paling mencabar bagi saya.
“Ketahanan mental akan diuji kerana kemungkinan akan mendapat mabuk laut dan untuk mendapatkan ikan juga agak sukar kerana laut ini luas,” katanya lagi.
Dalam pada itu, jelas Aiman, walaupun memancing ini dikatakan hobi yang biasa dan tidak menelan kos yang banyak berbanding hobi lain, ia ternyata tidak sama sekali.
“Kebanyakan peralatan memancing agak mahal bergantung kepada kualiti dan saiz. Peralatan bagi setiap lokasi memancing juga berbeza dan selalunya untuk pancing di laut akan lebih mahal.
“Setakat ini, saya cuma ada peralatan yang cukup untuk kolam air masin, air tawar dan laut yang bukan dalam,” ujarnya.