‘Mekdi’ milik anak Malaysia, diusahakan oleh rakyat Malaysia untuk Malaysia - Utusan Malaysia

‘Mekdi’ milik anak Malaysia, diusahakan oleh rakyat Malaysia untuk Malaysia

MOHD. FAIZUL MOHD. RIZAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagi seorang anak peneroka yang pernah melalui kehidupan susah dan memulakan kerjaya di McDonald’s sebagai pengurus pelatih, Datuk Azmir Jaafar tidak pernah menyangka beliau akan memiliki dan menerajui restoran makanan segera itu.

Memasuki 67 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan, pelbagai anjakan paradigma negara ini membuatkan seluruh warga Malaysia bangga menjadi rakyatnya termasuk juga restoran berkenaan yang kini berusia 42 tahun.

Menurut Azmir, kemajuan ini semua hasil daripada kerja keras rakyat Malaysia yang menjadi asas kepada pertumbuhan dan akhirnya menjadi sebahagian daripada batu lonjakan kepada negara ini.

“Selama 42 tahun McDonald’s bertapak di negara ini, kini lebih 13,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada rakyat Malaysia, merangkumi warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), daripada pengurusan kanan sehingga ke kru restoran.

“Peristiwa ini menandakan McDonald’s Malaysia sebagai salah sebuah syarikat yang diuruskan dan dikerjakan oleh 100 peratus rakyat Malaysia. Daripada jumlah ini, 90 peratus daripada pasukan mereka adalah orang Islam,” katanya.

Bukan itu sahaja, McDonald’s juga aktif dalam memperkasa golongan belia dan warga kerja yang ingin mengembangkan bakat mereka melalui Hamburger U.

Hamburger U merupakan sebuah institusi latihan kemahiran McDonald’s dimana para pekerja yang ingin maju dalam kerjaya bersama McDonald’s boleh mendapatkan pelbagai jenis latihan, sama ada dalam bidang pentadbiran, kepimpinan ataupan pengurusan restoran dan merupakan yang ke-9 di dunia dan satu-satunya di Asia Tenggara.

TELADAN HIDUP MENJADI PELUANG EMAS

Azmir yang merupakan anak peneroka Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan berkata, kerjayanya di syarikat itu membuatkan beliau menyedari bahawa McDonald’s boleh berkembang lebih daripada sebuah restoran tetapi sebagai medium yang membela ekonomi rakyat tempatan.

“Di McDonald’s, kami sangat menitik beratkan kemahiran para pekerja kami. Pekerja diberikan peluang untuk sambung belajar untuk memajukan diri dalam bidang industri perkhidmatan makanan, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menyandang jawatan yang lebih baik sama ada di dalam restoran atau pengurusan syarikat.” katanya.

Lebih membanggakan, McDonald’s Malaysia turut menawarkan pelbagai latihan kerjaya yang boleh membantu pekerjanya memajukan diri dalam industri makanan antaranya wujudkan Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, bertujuan untuk memberi peluang kepada belia melanjutkan kerjaya sambil belajar bersama McDonald’s.

“Para pekerja yang ingin maju dalam kerjaya bersama McDonald’s boleh mendapatkan pelbagai jenis latihan, sama ada dalam bidang pentadbiran, kepimpinan ataupan pengurusan restoran,” jelasnya.

BERALIH MINAT DEMI KERJAYA YANG MENJAMIN

Pengurus Wilayah Lembah Klang McDonald’s Malaysia, Mohd. Faizul Mohd. Rizal, 38, menyifatkan kerjayanya sebagai “tuah badan” tidak pernah menyangka perjalanan bersama McDonald’s membawanya ke tahap membanggakan.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Faizul memilih untuk meneruskan kerjaya dalam sektor perkhidmatan makanan kerana keyakinan terhadap potensi McDonald’s di Malaysia dan program kerjayanya yang menjanjikan.

Bermula sebagai juruwang dan pelayan tetamu pada usia 18 tahun untuk menampung kos universiti, Faizul terdorong untuk bekerja sepenuh masa di McDonald’s selepas mendengar kisah kejayaan rakan-rakan sekerja. Selepas hampir 20 tahun, beliau kini mengurus pasaran terbesar McDonald’s di Malaysia.

“Semasa di McDonald’s, saya didedahkan dengan peluang kerjaya yang memberangsangkan dari rakan-rakan sekerja.

“Mereka banyak kongsikan kisah kejayaan yang menarik, membuatkan saya memutuskan untuk bekerja sepenuh masa di McDonald’s Malaysia selepas habis ijazah sarjana muda.” katanya.

Pada 2023, beliau menerima penghormatan tertinggi apabila dianugerahkan Anugerah Presiden, pengiktirafan global bagi satu peratus kakitangan terbaik McDonald’s di seluruh dunia.

KEMBALI MENYENTUH JIWA DENGAN MAKANAN

Bagi Pengurus Pemasaran McDonald’s Malaysia, Aaron Danial Raj, 33, bekerja di restoran terkenal ini membolehkannya kembali menyelami perasaan ‘berpuas hati’ apabila dapat menyentuh hati pelanggan melalui hidangan yang mereka nikmati.

“Sebelum saya menjadi pengurus pemasaran, saya telah dihantar oleh McDonald’s Malaysia untuk menjalankan latihan di McDonald’s Bandar Utama.

“Ia sangat mengujakan saya kerana buat pertama kalinya saya menyediakan burger kegemaran saya, Double Cheeseburger. Ia adalah satu pengalaman yang menarik. Pengalaman ini membuka mata saya kepada kecemerlangan kru dan pengurus yang memastikan hidangan memenuhi standard tinggi.” katanya.

Tambah beliau, walaupun dirinya masih baru dalam ekosistem McDonald’s, Aaron bermotivasi untuk mencipta sesuatu yang bermakna, menyedari peranan besar restoran ini dalam menawarkan ‘delicious feel-good moment’ kepada pelanggan, sama ada melalui makanan atau suasananya.

“Sewaktu remaja dahulu, saya juga sering ke McDonald’s bersama rakan-rakan. Ia adalah kenangan indah yang saya tidak dapat lupakan apabila kita dapat luangkan masa sambil menikmati hidangan hangat.

“Kini, tanggungjawab saya pula untuk mencipta suasana yang indah itu di restoran kami dan juga meningkatkan pengalaman kepada paras yang lebih baik,” tambahnya.

CABARAN BERUBAH MENJADI HABUAN

Pengurus Restoran McDonald’s Bandar Utama, Wong Xinru, 27, memulakan kerjayanya sebagai juruwang di McDonald’s semasa remaja, tidak menyangka kini hampir 10 tahun berkhidmat di restoran tersebut.

Kerja separuh masa yang pada mulanya sekadar mencuba, akhirnya membuatkan beliau jatuh cinta pada cabaran sektor perkhidmatan makanan.
Selepas memilih untuk bekerja sepenuh masa, Xinru dilantik sebagai Ketua Pengalaman Pelanggan (GEL), di mana beliau mula memahami betapa pentingnya untuk sentiasa memberi layanan terbaik kepada pelanggan.

“Berbekalkan pengalaman yang ada dalam mengendalikan pelanggan, sedikit demi sedikit saya diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan staf dan restoran.

“Ini menunjukkan McDonald’s Malaysia membuka peluang kepada semua pekerja untuk meningkatkan kemahiran mereka.
“Daripada penjaga kaunter pesanan makanan dinaikkan pangkat sampai jadi pengurus restoran, saya tidak sangka peluang ini tiba tetapi saya amat hargainya.” tambahnya.

KISAH IBU MENJADI INSPIRASI ANAK UNTUK BERJAYA

Mendengar kisah ibunya setiap hari selepas pulang daripada restoran membuatkan Ahmad Danial Zakwan Zainal Fithri, 19 tahun, terinspirasi untuk mengikuti jejak langkah ibunya, Norlela Din, bekerja di McDonald’s Malaysia.

“Selepas tamat SPM, saya ingin mencari kerja sambilan sementara menunggu keputusan kemasukan universiti.

“Kebetulan suatu hari ibu ada cakap tentang Program Perantis Vokasional McDonald’s, jadi saya berminat untuk mencuba.

“Rupanya memang seronok bekerja dengan kakitangan yang mesra dan sangat prihatin,” kata Zakwan.

Ibunya, Norlela, 43, yang mula bekerja di McDonald’s sejak awal tahun lalu, dahulunya merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.

Beliau mengambil inisiatif bekerja untuk membantu keluarga dan mengisi masa lapang. Norlela bersyukur kerana McDonald’s memberikan peluang walaupun usianya sudah lanjut, dan merasa lebih menghargai pendapatan mereka kerana dapat bekerja bersama anaknya di McDonald’s Caltex Jalan Tengah, Pulau Pinang.

Zakwan, kini sedang mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap dua melalui Program Perantis Vokasional McDonald’s, bertekad untuk memanfaatkan semua peluang yang diberikan oleh McDonald’s Malaysia bagi membina kerjaya dan meningkatkan kemahiran dalam bidang perkhidmatan makanan.

INKLUSIVITI AMALAN KERJA YANG ADIL

Teo Jia Jun, 29, mula bekerja di McDonald’s Mutiara Damansara pada 2023 dan kini telah berkhidmat selama lebih setahun.
Sebagai individu daripada kategori Orang Kelainan Upaya (OKU), Teo mendapat saranan daripada rakannya untuk mencuba nasib di McDonald’s, yang menyediakan peluang kerjaya kepada OKU.

“McDonald’s adalah syarikat pertama yang saya bekerja sebagai pekerja sepenuh masa. Sebelum ini saya hanya bekerja sebagai pekerja separuh masa dalam sektor lain. Saya suka bekerja disini kerana mereka sangat menghargai orang-orang seperti saya,” katanya.

Teo menjelaskan bahawa McDonald’s memberikan perhatian yang khusus kepada orang OKU untuk bekerja di restoran mereka dengan memberikan latihan khas agar kumpulan pekerja ini dapat menyesuaikan diri dengan baik.

“Para pekerja di sini sangat mesra dan prihatin dengan saya. Mereka banyak mengajar saya untuk menjadi kru restoran yang baik dan sabar melayani apa jua keadaan saya.

“Ini yang membuatkan saya rasa restoran McDonald’s sebagai tempat kerja terbaik yang pernah saya lalui,” menurutnya.

ASPIRASI McDONALD’S MALAYSIA

Aspirasi McDonald’s Malaysia sebagai platform pembangunan bakat dan kerjaya ini adalah tradisi syarikat berkenaan sebelum ia mula diperkukuhkan oleh Datuk Azmir Jaafar melalui pelbagai program.

Sebagai sebuah syarikat milik tempatan, beliau melihat bahawa ia adalah satu peluang yang baik untuk kembali berbakti kepada rakyat Malaysia yang selama ini mendukung segala usaha yang telah dijalankan oleh syarikat berkenaan.

McDonald’s Malaysia telah berkembang sebagai sebuah perniagaan yang bukan sahaja memberi perkhidmatan makanan kepada pelanggan, malah bagi memastikan kecemerlangan itu mampan, syarikat ini sedar bahawa kunci kejayaan ini bermula dari warga kerjanya yang berkemahiran dan berkualiti.

Oleh itu, pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran menjadi keutamaan syarikat supaya pekerjanya boleh berkembang bersama pembangunan syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya