KUALA NERUS: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memproses 24,831 permohonan berkaitan dokumen pengenalan diri melalui program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) sejak Januari hingga 15 Ogos tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan itu diterima menerusi 1,431 program Mekar Ihsan, Komuniti, Identiti, Pahlawan dan Diaspora.
Beliau berkata, selain permohonan berkaitan dokumen pengenalan diri, sebanyak 19,239 khidmat nasihat turut diberikan JPN dalam tempoh sama.
“Sebagai perbandingan, sebanyak 29,340 permohonan telah diproses sepanjang tahun lalu, 29,958 pada 2022, 10,461 pada 2021 serta 12,864 permohonan pada 2020.
“Jumlah itu termasuk permohonan yang dibuat penduduk luar bandar, pedalaman serta rakyat di luar negara,” katanya pada Program Mekar Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Pulau Redang, dekat sini semalam.
Dalam program berkenaan, sebanyak 21 penggantian kad pengenalan, enam permohonan kad pengenalan 12 tahun dan 14 MyKid diserahkan kepada penduduk di Pulau Redang.
Menurut Saifuddin Nasution, sebanyak 87 program Mekar telah diadakan di Terengganu dengan 245 permohonan diterima dan 592 khidmat nasihat diberikan oleh JPN sepanjang tahun ini.
Katanya, program Mekar kali ini bukan saja bertujuan menangani isu keciciran dokumen pengenalan diri namun memudahkan urusan pendaftaran serta meringankan beban komuniti di Pulau Redang. – UTUSAN